
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperjelaskan status kedudukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang kini berdepan kekeliruan mengenai bidang kuasa antara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, perkara itu menyebabkan timbul kekangan dalam aspek peruntukan serta pengurusan tahunan kepada sekolah terbabit.
Menurut beliau, ia apabila SSN menerima bajet sama seperti sekolah harian biasa, sedangkan keperluan operasi dan kos penyelenggaraannya jauh lebih tinggi.
“Apabila SSN diletakkan di bawah JPN, mereka kata ia di bawah KPM. Bila pergi ke KPM, mereka pula kata SSN di bawah JPN. Jadi keadaan ini menjadi bercelaru. Pergi sana tak boleh, pergi sini pun tak boleh.
“Sekolah-sekolah ini terhimpit dan tidak tahu arah,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.
Menurutnya, kerajaan wajar menyediakan bajet khusus untuk SSN termasuk bagi pembelian serta penyelenggaraan peralatan sukan, latihan dan pertandingan berterusan sepanjang tahun serta penambahan jurulatih mengikut jenis sukan.
Katanya lagi, ketiadaan bajet khas menyebabkan sekolah terpaksa bergantung kepada sumbangan luar, sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan tertekan.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar latihan kecemasan di sekolah diperluas meliputi situasi bencana lain seperti puting beliung dan bukan hanya tertumpu kepada latihan kebakaran semata-mata.
“Baru-baru ini, sekolah menengah di Kemasan Taman Sri Jaya dilanda puting beliung dan kita lihat bagaimana pelajar serta guru menyorok di bawah meja dalam ketakutan. Oleh itu latihan kecemasan seperti ini sangat penting untuk keselamatan warga sekolah,” ujarnya.
Mas Ermieyati turut menyentuh mengenai peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkukuh perpaduan rakyat melalui kegiatan seni dan bahasa.
Namun beliau mempersoalkan ketelusan pengurusan apabila terdapat kejadian melibatkan larangan masuk terhadap Ahli Parlimen ke pementasan teater di DBP.
“Saya dan Ahli Parlimen Pagoh dijemput menonton teater di DBP, malah beliau membeli 100 tiket. Namun kami dihalang untuk masuk. Adakah ini mencerminkan Kerajaan Madani yang kononnya terbuka? Ini amat mengecewakan,” katanya.
Beliau turut menggesa agar Kementerian memberi penjelasan berhubung perkara itu, termasuk berapa jumlah peruntukan serta pendapatan hasil penyewaan auditorium DBP kepada pihak luar.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan kepentingan menaikkan elaun warden asrama yang memainkan peranan penting menjaga disiplin dan kebajikan pelajar di sekolah berasrama.
“Warden ini guru juga, tapi elaun rumah mereka dipotong kerana tanggungjawab tambahan. Mereka rasa tidak dihargai. Dengan menaikkan elaun, kita boleh pastikan warden lebih bersemangat dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu pelaksanaan garis panduan Melindungi Masa Instruksional Murid (MMI) yang didakwa menambah tekanan terhadap guru apabila ia hanya diukur dari segi prestasi akademik tanpa mengambil kira pembangunan sahsiah dan insaniah pelajar.
“Guru bekerja keras menjaga kualiti murid, tetapi mereka juga manusia yang perlukan keseimbangan. MMI perlu difahami sebagai usaha menyeluruh membangunkan murid, bukan sekadar akademik semata-mata,” katanya.
Mas Ermieyati juga menggesa kerajaan menambah peruntukan bagi program jati diri di sekolah yang mampu membentuk akhlak dan nilai murni dalam kalangan pelajar.
“Anak-anak kita hari ini terdedah kepada pelbagai budaya negatif melalui teknologi maklumat. Program jati diri seperti kem kepimpinan, kemahiran sosial, sukarelawanan dan motivasi perlu diperbanyakkan untuk membentuk keperibadian pelajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











