Rakyat diingat siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat agar meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025-2026 yang dijangka bermula pada 13 November dan berterusan sehingga penghujung Mac tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, negeri ini dijangka berdepan dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat sepanjang tempoh tersebut.

- Advertisement -

“Segala persiapan di setiap peringkat agensi telah pun dilakukan melalui penyelarasan dan koordinasi rapi oleh Bahagian Pengurusan Bencana bagi memastikan langkah kesiapsiagaan berjalan lancar.

“Simpan barangan penting di tempat yang selamat dan sekiranya memilih untuk tidak berpindah, pastikan bekalan makanan mencukupi bagi tempoh tertentu sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bagi penduduk di kawasan rendah, supaya berdaftar melalui IBJKM bagi memudahkan urusan pendaftaran di PPS.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak mengabaikan aspek keselamatan terutama bagi anak-anak kecil sepanjang tempoh musim tengkujuh ini.

“Begitu juga ibu bapa yang mempunyai anak kecil, jangan lupa menyediakan bekalan tambahan keperluan anak-anak seperti lampin pakai buang dan susu yang mencukupi.

“Dari segi keselamatan, saya ingatkan supaya ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dalam tempoh ini supaya anak-anak tidak dibiarkan bermain air sehingga mengabaikan keselamatan,” katanya lagi.

Rohani turut mengingatkan agar rakyat terus mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam menghadapi musim yang mencabar ini dengan memperbanyakkan doa dan solat hajat.

“Apa yang penting sentiasa solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT. Saya juga menggesa seluruh rakyat agar mematuhi arahan dan nasihat pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen terbaik secara langsung atau tidak langsung dalam usaha kesiapsiagaan negeri menghadapi bencana.

“Kerjasama dan koordinasi yang sangat baik oleh agensi penyelamat dalam membantu melatih pelbagai NGO dan para sukarelawan juga sangat dihargai.

“Saya yakin dan percaya sinergi gerak kerja rentas agensi dan portfolio ini akan menatijahkan hasil yang terbaik untuk manfaat mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Rohani menegaskan kerajaan negeri sentiasa kekal komited dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana demi kesejahteraan rakyat dan negeri. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -