Kerajaan fokus selesai bekalan air Langkawi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) sentiasa komited melaksanakan langkah-langkah penyelesaian bagi memastikan bekalan air bersih yang lebih stabil kepada penduduk dan kawasan tumpuan pelancong khususnya di Langkawi diatasi segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, tindakan sama ada untuk jangka masa pendek, sederhana atau panjang akan dilaksanakan melalui beberapa projek yang dikenalpasti.

- Advertisement -

” Untuk penyelesaian segera, SADA akan bertindak menghantar bekalan, sementara untuk penyelesaian jangka sederhana, pembaikan paip dasar laut dari Tanah Besar ke Langkawi kini dalam proses perolehan kontraktor,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan Amar Pared Mohamad (PN-Kuah) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Amar ketika mengajukan soalan memohon penjelasan tindakan kerajaan berkaitan gangguan bekalan air yang sering berlaku di Langkawi sehingga menimbulkan rungutan penduduk khususnya di DUN Kuah.

Dalam pada itu, beliau juga ingin tahu apakah perancangan Kerajaan Negeri sama ada pelan jangka masa pendek atau panjang untuk mengatasinya.

Dato’ Yusoff sehubungan itu menjelaskan, kerja-kerja pembinaan, pengujian dan pentauliahan bagi penambahbaikan sistem rawatan air serta kerja-kerja berkaitannya antara menjadi perhatian Kerajaan Negeri dan SADA.

“Antaranya, Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Kemboja, Langkawi secara reka dan bina dalam peringkat pembinaan. Termasuk menaik taraf Sistem Rawatan Air Baru serta kerja-kerja berkaitan dengannya di LRA, Padang Saga Fasa 2, dalam peringkat pembinaan,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan, beberapa penyelesaian jangka panjang seperti cadangan pembinaan LRA Padang Saga Faza 5 dan projek pembinaan empangan  bawah tanah, telaga tiub dan struktur takungan di Padang Maksirat, Langkawi kini dalam peringkat rekabentuk

Selain itu tegasnya, cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Padang Saga, Langkawi, kini  dalam peringkat semakan semula kebolehlaksanaannya.

“Kerajaan Negeri melalui SADA akan terus memantau dan memberi keutamaan terhadap pelaksanaan projek-projek ini bagi memastikan bekalan air terawat di Langkawi dapat dipulihkan serta ditingkatkan ke tahap yang lebih mampan,” katanya.

Sementara, menjawab soalan tambahan dari ADUN yang sama, Dato’ Yusoff berkata, jumlah kos pembaikan Paip Dasar Laut yang dikendalikan SADA adalah sebanyak RM1,481,190 untuk 40 pembaikan (2024) dan RM1,907,567, 54 pembaikan (2025).

Berikutan pembaikan berkenaan, penyaluran air terawat ke LRA Sungai Baru dapat ditingkatkan daripada 26 juta liter sehari (mld) kepada 45 mld.

“Ketika penganjuran LIMA’ di Langkawi pada 2023 dan 2025, pertambahan permintaan air meningkat sebanyak 30 peratus. Walaupun tarif air naik, tetapi servis daripada SADA juga bertambah baik,” ujarnya lagi.

Selain komited untuk menambah baik perkhidmatan air, Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk meningkatkan kualiti bekalan air.

Pada soalan tambahan itu, Amar Pared inginkan penjelasan berkaitan kos pembaikan paip dasar laut untuk tahun 2024 dan 2025. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -