
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan terus memberi keutamaan dalam menangani pelbagai masalah gejala sosial termasuk LGBT melalui pemantapan terhadap enakmen-enakmen sedia ada yang telah diwarta dan dilaksanakan di negeri ini.
Mohd Asri Mat Daud berkata, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan (JPSNK) telah mengambil tindakan terhadap kesalahan yang menyalahi Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, khususnya berkaitan LGBT.
“Memang terdapat 16 seksyen yang terbatal, namun daripada 68 seksyen keseluruhannya, masih ada 52 seksyen yang masih diguna pakai dan boleh dikuatkuasakan sehingga ke hari ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, kelmarin.
Beliau menegaskan bagi isu LGBT, seksyen yang masih lagi terpakai ialah seksyen 15 (musahaqah), seksyen 19 (lelaki yang berlagak perempuan), seksyen 20 (perempuan yang berlagak lelaki) dan seksyen 22 (pembedahan kosmetik yang melanggari syariah).
Termasuk katanya, pembedahan plastik bagi perubahan transgender di mana sehingga November 2025, sebanyak 17 kes berkaitan LGBT telah dibuka kertas siasatan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah dengan JPSNK.
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta itu memberitahu, kebanyakan kes adalah Tiada Tindakan Lanjut (NFA), iaitu tidak ke arah pendakwaan seterusnya tetapi lebih kepada khidmat kaunseling.
Mohd Asri berkata lagi, JPSNK dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) turut melaksanakan pelbagai program penerangan undang-undang syariah di sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), masjid serta jabatan dan agensi kerajaan.
“Selain itu, kami juga membuat siasatan dan serbuan bagi setiap aduan yang dilaporkan, mengadakan pameran di IPT, program penerangan masyarakat melalui Program Cakna Rakyat di setiap DUN, serta papan tanda di lokasi tumpuan ramai untuk mencegah LGBT dan lain-lain,” katanya.
Beliau menambah bahawa usaha dakwah dalam pelbagai aspek turut dijalankan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK), termasuk khutbah Jumaat khas bertajuk “Hak Asasi yang Batil” yang dibaca oleh khatib di masjid seluruh negeri pada 8 Ogos lalu. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











