Terkejut Bajet Kedah 2026 dibincang di Dewan Rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah terus dikekalkan tradisi perbahasan secara adik-beradik walaupun ada kalanya tercetus perdebatan agak panas dari kalangan wakil kerajaan dan pembangkang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebagai penggulung terakhir pada sidang itu, dan juga ketua negeri, beliau perlu bertindak sebagai ‘penyejuk’ keadaan serta memelihara keharmonian semua pihak.

- Advertisement -

Sungguhpun begitu tegasnya, setiap hujahan atau pandangan yang diberi, perlulah berfakta, tidak diputar belit, diambil separuh, dibuang separuh, sebaliknya perlu menyeluruh agar lebih jelas dan terang.

“Pada sidang ini, Belanjawan Kedah 2026 perlu diluluskan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan. Tetapi dalam proses ini, ada yang puas hati, ada yang  tidak puas hati. Tetapi kerana dewan ini mengamalkan demokrasi, ada yang cakap ikut suka.

“Ada perkara yang dibangkitkan itu di luar kontak Belanjawan 2026,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan pergulungan sempena Sidang DUN Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Namun yang lebih mengejutkan ujarnya, Bajet Kedah ini turut dibincangkan di Dewan Rakyat, sedangkan dewan tersebut seharusnya membincangkan perkara lebih besar, bukannya Kedah yang hanya sebuah negeri yang kecil.

“Hebatnya Kedah ni…negeri kita kecil kalau nak dibandingkan dengan negeri lain. Kita ada 36 DUN sahaja. Rakyat Kedah 2.2 juta. Oleh kerana negeri kita ni negeri yang senior dan ada isu-isu yang belum selesai. Parlimen yang besar itu patutnya bincang bajet negara tetapi bincang Bajet Kedah.

“Mengharukan sayalah sebab Kedah diberi perhatian begitu. Nampaknya kena jadi PM-lah, kalau lagu (seperti) tu. Sebelum jadi PM sudah dibincang di federal, kalau dah jadi PM, macam mana pula tak tau (tahu),” gurau beliau namun terselit sindiran tajam.

Sanusi turut menyentuh, hujah wakil-wakil pembangkang yang memberi pandangan negatif berkaitan cadangan kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Kata beliau, kenaikan itu baharu di peringkat proses di MBAS, bukan dilaksanakan lagi, namun ia di hurai oleh wakil-wakil pembangkang terutama ADUN Kota Darul Aman seolah-olah telah menjadi keputusan di peringkat akhir.

“Bawa naratif, hurai seolah-olah sudah menjadi keputusan akhir. Salah begitu. Sedangkan ia belum selesai diproses dan dibuat rumusan, dibawa ke PTN, kemudian diwartakan. Bila dah diwartakan barulah boleh dilaksanakan. Itu prosesnya.

“Saya harap rakan di sana (wakil-wakil pembangkang) sematkan di hati, walaupun suka dekat kami (kerajaan) tapi  tak mau (mahu) tunjukkan. Sematkan di hati masing-masing untuk lahirkan kebaikan.

“Semua perbahasan untuk lahirkan kebaikan bukan mencalarkan atau melemparkan wajah huduh kepada sesiapa yang tidak disukai demi kepentingan politik sendiri dan mengenepikan kepentingan negeri hanya untuk mencalarkan pihak lain,” sindirnya lagi.

Beliau juga menegaskan, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan mengangkat sumpah di dewan yang mulia ini untuk memelihara kepentingan negeri, maka itulah yang patut dilaksanakan.

Dalam pada itu katanya, sebagai orang yang mempunyai pengalaman yang agak lama dalam Sidang DUN walaupun bukan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri mahupun ADUN, prestasi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri sekarang ini jauh lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Beliau juga berkata, politik sekarang ini terdapat tiga perkara sahaja iaitu pertama, mencipta naratif, kedua memberi optik dan ketiga membina persepsi.

Naratif itu ujarnya adalah jalan cerita yang dibuat supaya terhasil optik hingga terbinalah persepsi.

“Politik sekarang ini macam tu. Saya rasa tak betul tu. Politik ini mestilah realiti dan hakikat yang sebenarnya. Mesti diceritakan dengan betul. Kalau benda buruk diberi naratif yang elok, optik elok, maka persepsi akan menjadi elok, tetapi benda itu buruk. Tentulah merugikan negara.

“Merugikan rakyat. Mengelirukan orang ramai. Akhirnya rakyat membuat keputusan silap. Di hujungnya jahanam habis. Saya rasa di dewan ini sepatutnya kita bercakap perkara yang berfakta serta realiti dan tidaklah membina naratif, optik dan persepsi yang palsu.

“Orang ramai mesti dibekalkan dengan naratif yang betul. Optik yang sebenar, maka terhasillah persepsi, walaupun kita nak kata politik itu adalah persepsi. Tetapi saya tidak berpegang kepada pandangan itu, Bagi saya politik mesti berpegang kepada fakta dan realiti sebenar,” ulasnya panjang lebar.

Menyentuh dakwaan wakil pembangkang kononnya Bajet Kedah 2026 adalah bajet syok sendiri, Sanusi berkata, tuduhan itu seolah-olah menghina para pegawai kerajaan yang bekerja keras menyiapkan belanjawan tersebut berdasarkan keupayaan, pengalaman serta kemahiran mereka masing-masing.

“Walaupun wakil yang kata bajet ini bajet syok sendiri, dah tarik dakwaan dia tetapi realitinya para pegawai kerajaan lebih arif dalam perkara ini. Kami ini (sambil tunjuk kepada barisan Exco) baru berapa hari sahaja dalam kerajaan ni.

“Ada kecenderungan sesetengah pihak yang ambil bajet federal dan banding dengan Bajet Kedah. Gila macam ini. Tak bolehlah begitu. Federal lain, kontaknya berlainan, pendapatannya RM400 billion.

“Seeloknya bandinglah dengan negeri kita sendiri, dalam tempoh berapa tahun ada dalam dewan ini, bandingkan, zaman la ni (sekarang) dengan zaman sebelum ini. Baru kita tahu mana yang lebih baik.

“Depa (mereka) kata bajet defisit ini tak bagus, tak pandai memerintah.Sejak berpuluh tahun, kita bentang bajet defisit. Kalau bentang bajet surplus, pakai tak jadi apa.

“Tapi bila bentang bajet defisit sebenarnya memberi rangsangan kepada jabatan dan agensi cari pendapatan dan belajar berjimat supaya di akhir tahun perbelanjaan, bajet itu jadi surplus,” tegasnya lagi.

Berhubung hal tersebut, beliau berkata, walaupun setiap tahun bermula 2023, Bajet Kedah menunjukkan defisit tetapi bermula dari tahun itu hingga 2026, jumlah defisit mengecil.

Defisit pada 2023 jelas beliau adalah sebanyak  14.17 peratus,  2024 (14.05 peratus), 2025 (12.65 peratus) dan 2026 (11.81 peratus), walaupun bajet menunjukkan defisit tetapi pada 2024, kewangan negeri merekod surplus sehingga RM11.16 juta walaupun jangkaan defisit sehingga RM90 juta.

Seperkara lagi, pihaknya sentiasa berusaha untuk mengecilkan jumlah defisit, mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan hasil, sebagai contoh, prestasi sebenar pada 2023, defisitnya RM12.66 juta berbanding yang diunjurkan RM14.17 juta.

“Inilah bukti Kerajaan Negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berdisiplin. Saya bagi jaminan kita tidak belanja merapu. Kita tak sewa jet mahal-mahal. Semua pegawai dan Ahli Exco naik kapal terbang komersial. Kalau terdesak tengah malam, naik kereta.

“Sebelum ini rezab kerajaan hanya berbaki RM40 juta dan tak mampu untuk bayar gaji kakitangan dan terpaksa buat pinjaman (2015, 2016, 2017) kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM200 juta. Tapi kita dah bayar habis. Pada 2018 rezab kerajaan tinggal RM73 juta.

“Sejak Perikatan Nasional (PN) menerajui Kedah, rezab Kerajaan Negeri kali pertama dalam sejarah mencecah lebih daripada RM450 juta iaitu bermula 2021 hingga 2025,” maklum beliau.

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa hasil negeri hanyalah dari cukai tanah, hutan serta galian dan selebihnya termasuk pelancongan semuanya dikembalikan kepada Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Persekutuan jelas beliau menerima hasil cukai pelancongan hingga RM5 billion setahun tetapi sangat mengecewakan naratif buruk dibuat kononnya Langkawi sunyi dan menjadi pulau berhantu.

Sehingga kata beliau ada yang mendakwa kononnya pihaknya tidak pandai mengurus Langkawi, tetapi ada hati hendak mengambil Pulau Pinang.

“Suatu ketika dahulu, dibina naratif kononnya Langkawi tak ada orang dan sebagainya kerana ada agenda untuk mengambil pulau tersebut sebagai Wilayah Persekutuan. Burukkan pulau itu, gambarkan kita ini tak pandai urus, kemudian persekutuanlah nak ambil, agensi persekutuan dah ada di situ.

“Itu jalan mereka tapi langkah mayat kami dululah kalau nak pi sampai tara tu. Hat hangpa (kamu) ambil pun kami nak ambil balik, tambah yang dok ada. Takkan nak biaq ke hangpa. Minta maaflah,” katanya lagi. HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -