Pembangkang kutip bahan cybertroper bangkit di Dewan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Wakil pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) Kedah dibidas kerana gemar membangkitkan perkara telah berkali-kali dijelaskan oleh pihak kerajaan terutama berkaitan projek ikonik dan mega yang belum menjadi kenyataan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara yang ‘popular’ serta kerap kali dibangkitkan oleh mereka termasuklah litar lumba di Sungai Petani dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

“Mereka ini dok kutip yang ‘cybertroper’ PH dok sebut ja…litar lumba, KXP… Ni saya nak beritahu, litar lumba yang dok ulang-ulang sebut tu adalah projek Barisan Nasional (BN) 2013 dulu dan ada di dalam manifesto mereka untuk bina di Sungai Petani.

- Advertisement -

“Dapat bajet RM30 juta. Mai PH terajui Kedah, depa belanja RM10 juta untuk urusan tanah (tapak). Saya tak mahu (mahu) persoal adakah kerja-kerja urusan tanah itu sampai RM10 juta.

“Siapa berasa, pi ‘check’ tengok, betul ke tidak,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan pergulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam.

Jelasnya lagi, projek litar lumba itu akan diteruskan oleh kerajaan sekarang tetapi melalui cara yang betul serta mengikut peraturan.

Beliau menambah, duit atau peruntukan kerajaan tidak boleh dibelanjakan untuk tanah milik swasta tetapi perkara itu telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

“Cara yang mereka lakukan itu, mengakibatkan kerajaan terikat di situ. Saya boleh saja nak lepas tangan. Pulangkan semula baki peruntukan RM20 juta itu tetapi saya tidak mahu bertindak seperti itu.

“Saya nak betulkan proses itu dan kalau boleh nak jadikan tanah itu tanah kerajaan supaya perbelanjaan yang dilakukan sebelum ini jadi betul.

“Tindakan kerajaan sebelum ini dah salah. Sesiapa yang rajin nak cari salah, pergilah cari depa (mereka). Dah _hangpa_ (kamu) rajin, tiga pagi pun mai cekup orang lagikan,” bidas beliau lagi.

Namun kata Sanusi kerana sikap ‘gentleman’ beliau, litar lumba itu diusahakan juga agar menjadi kenyataan walaupun menghadapi proses yang sukar akibat tindakan Kerajaan PH waktu itu.

Malah lebih merumitkan jelas beliau, perbelanjaan asal yang disasarkan RM30 juta sebelum ini menjadi RM73 juta susulan keputusan Kerajaan PH ketika itu mahukan sebuah litar lumba yang lebih ‘standard’.

“Baki ada RM20 juta, nak buat macam mana? Kita terikat di situ. Maka jadilah bola tanggung kepada pihak tertentu untuk jadikan litar yang belum siap itu sebagai kelemahan kerajaan sekarang ini,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, kritikan wakil pembangkang kononnya Kerajaan Negeri tidak adil berkaitan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) katanya adalah tidak benar.

Jelas Sanusi, bantuan kepada sekolah-sekolah terbabit walaupun dalam bajet berjumlah RM300,000, namun hakikat sebenarnya mencecah RM400,000.

“Saya pun kalau boleh nak bagi lebih lagi untuk SJKC dan SJKT, walaupun urusan pendidikan ini berada dalam senarai tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Tetapi atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri kita bantu demi kebaikan pendidikan anak-anak walaupun tidak banyak.

“Sekolah-sekolah agama rakyat di bawah pengurusan Exco Pendidikan agihannya sama juga, tetapi kerana jumlah sekolah ini banyak, jumlah peruntukan menjadi RM1.5 juta. Tetapi kalau tengok di sudut lain, bajet untuk program antara kaum kita dah luluskan sebanyak RM600,000,” jelas beliau.

Sidang Dewan juga dimaklumkan, bantuan kepada SJKC dan SJKT ini mula diperkenalkan ketika Kedah di bawah pentadbiran Almarhum Tan Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar dan kemudiannya diteruskan hingga sekarang.

“Sebelum ini tak ada bantuan kepada SJKC dan SJKT tetapi Itulah semangat kita, tak mahu orang anggap kita rasis, Beri juga untuk majukan sektor pendidikan di negeri kita,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -