Peruntukan galak pelancongan ke Terengganu tak adil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mempersoalkan ketidakseimbangan agihan peruntukan Lembaga Penggalakan Pelancongan yang dilihat tidak berpihak kepada Terengganu.

>Beliau berkata, pada tahun lalu negeri itu hanya menerima sebanyak RM470,000, jauh lebih rendah berbanding negeri lain yang memperoleh sehingga RM1 juta.

- Advertisement -

“Saya ingin tahu sama ada pada tahun 2026 kerajaan akan menggunakan formula yang sama atau melaksanakan pengagihan peruntukan secara lebih adil berdasarkan potensi sebenar setiap negeri.

“Sebelum ini, negeri lain diberi RM1 juta, tetapi Terengganu hanya mendapat RM470,000 sahaja. Ini jelas tidak adil,” katanya ketika pada perbahasan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau juga menyentuh berkenaan peranan penasihat Islamic Tourism Centre (ITC) yang mesti dipandang serius bagi memastikan setiap program pelancongan mematuhi standard Islamik.

Kata beliau, peranan ITC bukan sekadar penasihat kepada pemain industri, tetapi juga kepada kementerian bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan amalan terbaik dipatuhi dalam setiap program rasmi.

“Sejauh manakah peranan penasihat ITC diberikan perhatian serius, bukan sahaja oleh pemain industri, tetapi juga oleh kementerian itu sendiri?

“Adakah peranan penasihat ITC termaktub dalam SOP keselamatan dan pengurusan program kementerian bagi memastikan standard amalan terbaik industri dipatuhi?

“Institusi seperti ITC sepatutnya memastikan insiden memalukan, seperti penghidangan arak dalam majlis Global Travel Meet (GTM), tidak berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -