
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, ketidakseimbangan ketara dalam Belanjawan 2026 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), di mana belanja pembangunan tidak sampai 20 peratus daripada keseluruhan bajet kementerian.
Ujarnya, peruntukan pembangunan yang terlalu kecil ini amat merisaukan dan akan menjejaskan potensi pelancongan di Terengganu, khususnya Kuala Nerus.
”Saya ingin menarik perhatian dewan pada ketidakseimbangan ketara antara berbelanja mengurus dan pembangunan. Belanja mengurus telah meningkat kepada RM1.298 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan hanya berjumlah RM268.9 juta.
”Apa yang lebih membimbangkan kita ialah komponen pembangunan yang menyokong pelaksanaan projek fizikal jatuh mendadak daripada RM9.1 juta kepada hanya RM1.1 juta,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, semalam.
Alias berkata, bagi Terengganu yang kaya dengan tapak warisan, pantai, serta komuniti pelancongan seperti rumah inap (homestay), kekurangan pelaburan pembangunan ini menghalang potensi ekonomi setempat dimaksimumkan.
Beliau memberi contoh projek pembangunan yang amat diperlukan di Terengganu, termasuk menaik taraf jalan masuk ke kawasan lagun rekreasi di belakang Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan jajaran pantai Teluk Ketapang hingga Teluk Jembal yang masih terbiar.
”Begitu juga fasiliti dan kemudahan di pulau-pulau dalam kawasan muara sungai seperti Pulau Ketam dan Pulau Duyung yang juga perlu dinaik taraf,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian menyatakan dengan jelas berapakah daripada RM268.9 juta peruntukan pembangunan itu akan disalurkan ke negeri Pantai Timur dan apakah projek fizikal yang dirancang khusus untuk Terengganu.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan sasaran perbelanjaan pelancong asing mencecah RM329 bilion pada 2026 sebagai tidak berasas kepada keadaan semasa.
”Apatah lagi dalam konteks negeri Terengganu yang masih bergelut dengan isu capaian penerbangan antarabangsa. Lapangan Terbang Sultan Mahmud masih belum menjadi hab pelancongan antarabangsa, walaupun Terengganu memiliki aset pelancongan bertaraf dunia seperti Tasik Kenyir, Pulau Redang dan warisan seni ukiran kayu,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan pemotongan besar 94 peratus bagi butiran aktiviti kewangan (daripada RM448 juta kepada RM25 juta), yang dikhuatiri akan menjejaskan keupayaan Kementerian menyokong pelaksana projek di peringkat negeri.
”Ini termasuk geran kepada pengusaha homestay, penggiat seni tempatan, dan penganjur acara budaya seperti Festival Gamelan dan Monsoon Challenge,” katanya.
Alias juga mempersoal peruntukan RM165 juta kepada Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dan menuntut penjelasan berapa banyak bajet itu yang benar-benar sampai ke negeri Terengganu untuk mempromosikan pelancongan komuniti seperti lawatan ke kampung nelayan dan pembuatan bot tradisional.
Merujuk kepada program khusus bernilai RM217.7 juta, beliau turut meminta pecahan agihan RM160 juta untuk promosi dan sama ada ia akan menyokong acara budaya di Terengganu.
”Saya mohon agar Kementerian memperkenalkan sistem pelaporan berkala dan indikator prestasi bagi program khusus supaya negeri seperti Terengganu tidak terus dipinggirkan,” gesanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











