
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menegaskan bahawa sebarang perancangan atau dasar nasional berkaitan pembangunan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia tidak boleh dilaksanakan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri.
Tegas beliau, langkah itu penting bagi memastikan hasil dan limpahan ekonomi daripada industri strategik tersebut dapat dinikmati secara adil oleh rakyat setempat.
“Kerajaan negeri mensyaratkan agar setiap perancangan nasional melibatkan rundingan rasmi dengan negeri pemilik sumber. Pembangunan industri NR-REE juga mesti dilaksanakan di negeri berkenaan supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industrinya turut dirasai oleh rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Penggulungan Ucapan Belanjawan Terengganu 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Beliau berkata, hasil negeri tidak wajar terhad kepada bayaran royalti semata-mata, sebaliknya mesti turut merangkumi penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri serta rakyatnya.
“Kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rantaian nilai menyeluruh dari penerokaan hingga penghasilan produk berasaskan REE bernilai tinggi, namun prinsip keadilan kepada negeri pemilik sumber mesti dihormati,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2025




















