
ALOR SETAR: Usaha tuntutan hak negeri khususnya perlu dilakukan dengan terancang dan konsisten serta bersama sokongan rakyat pada masa yang tepat merupakan kunci kepada kejayaan bagi mencapai matlamat tersebut.
Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) berkata, kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri Sabah sedikit sebanyak memberi petunjuk kepada Kedah untuk terus memperhebatkan lagi usaha bagi menuntut hak khususnya melibatkan pajakan Pulau Pinang.
“Mungkin sudah tiba masanya negeri-negeri mula berpakat antara satu sama lain untuk mewujudkan platform khas bagi membincangkan hak-hak negeri yang wajar dituntut dan diperkasa di masa hadapan.
“Platform ini wajar disertai oleh negeri-negeri tanpa penglibatan Kerajaan Persekutuan agar buah pandangan lebih ikhlas, jujur serta bebas dari pengaruh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau mengemukakan demikian pada ucapan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Jelasnya lagi, kemungkinan hasil perbincangan platform khas tersebut mempunyai merit untuk dibawa ke platform rasmi negara seperti Majlis Raja-Raja atau Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.
Sebagai permulaan, cadang beliau, Kerajaan Negeri mungkin boleh mengadakan perbincangan dengan negeri-negeri SG4, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan juga Wilayah Borneo berhubung kaedah dan cara untuk menggerakkan agenda.
“Selain disentralisasi kuasa dari Persekutuan ke negeri dengan lebih menyeluruh agar momentum ini bukan hanya menjadi usaha berasingan secara ‘piecemeal’ malah satu ‘concerted effort’ negeri-negeri secara keseluruhannya.
“Bak kata orang tua-tua ‘Bersatu Teguh Bercerai Roboh’. InsyaAllah, jika negeri-negeri semuanya mula bersuara dan bersama-sama menuntut hak-hak negeri dipulihkan, saya percaya usaha ini lama kelamaan pasti membuah hasil,” tambahnya lagi.
Abdul Ghafar juga tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta menjunjung tinggi titah Tuanku Sultan Kedah dalam isu pampasan Pulau Pinang.
Ujar beliau, pihaknya tidak terkecuali menyokong penuh tindakan Kerajaan Negeri dalam usaha melantik peguam bagi meneliti perkara itu dengan lebih serius secara perundangan.
“Jika kita meneliti sejarah pentadbiran Negeri Kedah, tidak dinafikan bahawa setiap kerajaan yang memerintah akan menuntut hak-hak negerinya.
“Namun pada hemat saya, inilah yang pertama digerakkan secara serius melalui lantikan pengkaji sejarah dan peguam bagi membawa isu ini ke mahkamah. Semoga, usaha murni ini akan membuahkan hasil dan menegak semula kebenaran sejarah di negeri ini,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, Abdul Ghafar juga mengharapkan tanah Pulau Pinang sebagai hak negeri Kedah yang dipajak dapat diiktiraf oleh negara secara rasmi dan hak untuk mengkaji semula kadar pajakan diberi semula kepada Kerajaan Negeri khususnya untuk diteliti.
Pada ucapan itu, beliau juga mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada Menteri Besar atas pembentangan Bajet Kedah 2026 yang begitu komprehensif, realistik dan optimistik. – HARAKAHDAILY 13/11/2025




















