Kelantan tegaskan hak kedaulatan sumber bumi negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, menegaskan bahawa segala sumber mineral termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) adalah hak mutlak negeri yang mesti dihormati dan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika membuat pergulungan usul tergempar yang dibawa oleh Zubir Abu Bakar (PAS-Mengkebang) berhubung isu hak negeri terhadap sumber nadir bumi, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri Kelantan Ke-15.

“Terima kasih kepada semua Ahli Dewan yang menyokong usul ini. Ia menunjukkan kecaknaan kita terhadap isu kedaulatan negeri,” katanya Mohamed Fadzli (PAS-Temangan).

Menurut beliau, usul tersebut adalah satu peringatan kepada Kerajaan Persekutuan agar tidak mengulangi kesilapan lalu dalam hal pengurusan sumber hasil bumi negeri.

“Kalaupun Persekutuan tidak berniat begitu dalam menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat baru-baru ini, anggaplah usul ini sebagai peringatan dan amaran bahawa kami tidak leka dan tidak lena,” ujarnya.

Dr Fadzli turut menegaskan bahawa pengalaman perjanjian petroleum tahun 1974 yang meminggirkan hak negeri menjadi pengajaran besar kepada Kelantan agar lebih berhati-hati dalam apa jua bentuk perjanjian membabitkan sumber bumi.

“Perjanjian petroleum yang hanya dua muka surat pun boleh dimanipulasi, apatah lagi perjanjian baharu yang mengandungi lebih 400 muka surat. Kita tidak mahu hak negeri dimanipulasi atas nama pembangunan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan memperuntukkan tanah dan hasil mineral di bawah bidang kuasa negeri.

Demikian itu jelasnya, sekali gus menolak sebarang usaha Persekutuan yang cuba mengambil alih kuasa tersebut tanpa rundingan rasmi dengan kerajaan negeri.

Katanya, perjanjian perdagangan ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat baru-baru ini, yang menyentuh sektor mineral kritikal dan nadir bumi, perlu dikaji dengan teliti agar tidak menjejaskan hak negeri pengeluar seperti Kelantan dan Terengganu.

“Pengalaman lalu membuktikan bahawa hasil negeri sering terpinggir apabila entiti Persekutuan menguruskan sumber tanpa rundingan adil dengan kerajaan negeri. Kita tidak mahu perkara sama berulang,” katanya.

Beliau juga memberi amaran agar sebarang penglibatan entiti Persekutuan seperti Khazanah dalam pengusahaan NR-REE tidak mengulangi kesilapan PETRONAS yang mengabaikan hak negeri dalam pengurusan minyak dan gas.

Menurutnya, kerajaan negeri menyokong usaha memperkukuh industri mineral termasuk NR-REE, namun ia mesti dilaksanakan secara lestari dan berpaksikan kepada manfaat rakyat serta kelestarian alam sekitar.

“Pihak negeri tidak menafikan peranan Kerajaan Persekutuan, tetapi apa yang kita minta ialah supaya hak negeri diiktiraf dan rundingan dilakukan dengan penyertaan substantif kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa proses kelulusan aktiviti perlombongan perlu dipermudahkan agar negeri tidak ketinggalan dalam memanfaatkan potensi ekonomi NR-REE.

“Kita tidak mahu urusan pentadbiran mengambil masa bertahun-tahun sehingga menyebabkan peluang ekonomi terlepas. Apa yang kita mahu ialah kerjasama yang adil, bukan pengambilalihan hak,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri berhak memilih rakan strategik yang terbaik termasuk dengan syarikat luar negara seperti Lynas, selagi ia memberi manfaat ekonomi kepada Kelantan dan rakyatnya.

“Kita bukan menolak mana-mana negara termasuk Amerika, tetapi kita mahu hak menentukan kerjasama itu berada di tangan kita. Kalau China beri tawaran lebih baik, kita berhak memilih. Ini soal kedaulatan negeri,” katanya.

Beliau turut memberi analogi bahawa hak negeri terhadap sumber bumi tidak boleh dilihat dari sudut kemampuan semata-mata, tetapi sebagai hak mutlak yang mesti dipertahankan.

“Dulu orang kata kita tak mampu buat kilang tayar, tapi kenapa tidak kita letak syarat supaya kilang dibuka di sini? Sekurang-kurangnya rakyat kita boleh bekerja, dan hasilnya dapat dirasai bersama,” katanya.

Dato’ Dr Fadzli menegaskan bahawa kerajaan negeri mahu memastikan setiap pengeluaran hasil bumi membawa manfaat langsung kepada rakyat dan menjamin masa depan ekonomi negeri.

“Kelantan bukan meminta belas kasihan, kita hanya menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang kita mahu hanyalah keadilan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2025

- Advertisement -