Kerajaan negeri bina hubungan baik dengan Pusat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri komited memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan selari semangat Federalisme dan agensi berkaitan termasuk Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU JPM) Negeri Kelantan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, langkah tersebut bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di Kelantan dapat dicapai sekali gus memberi keselesaan untuk rakyat.

Beliau berkata, kaedah itu melibatkan penyelarasan dan pemantauan rapi terhadap projek yang diluluskan dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan direalisasikan melalui empat mesyuarat bersama agensi.

“Proses ini dibuat melalui mesyuarat penting Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) dipengerusikan Menteri Besar, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Selain itu Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dipengerusi Ketua Jajahan dan Penyelarasan dan Pelaksanaan Pemantauan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi ECERDC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan oleh Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) yang bertanya mengenai pendekatan bersama agensi yang dahulu dikenali Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Bahkan Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menambah, kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sentiasa memantau pelaksanaan projek RMK12.

Katanya UPEN juga dari masa ke semasa akan memastikan agensi pelaksana untuk mengemaskini laporan dan perkembangan projek melalui portfolio berkaitan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau berkata, mesyuarat khas turut diadakan mengikut keperluan termasuk meneliti projek yang dilihat tidak mengikut jadual ditetapkan termasuk isu berbangkit dan memerlukan tindakan segera kerajaan.

“Kita adakan mesyuarat khas kalau ada masalah bagi meneliti setiap projek yang kalau kita lihat berjalan tidak mengikut jadual kita buat mesyuarat, ada masalah yang perlukan tindakan segera.

“Setakat ini alhamdulillah hubungan kita (kerajaan negeri) dengan Kerajaan Persekutuan pun baik, begitu juga agensi negeri dengan agensi Persekutuan pun baik, alhamdulillah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -