
KUALA TERENGGANU: Hasil negeri Terengganu berjaya mencecah RM261.61 juta setakat 31 Oktober lalu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, jumlah itu termasuk daripada sumber air, atau 93 peratus daripada yang dianggarkan bagi tahun ini dan lebih tinggi sebanyak RM16.62 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Perbelanjaan negeri setakat ini berjumlah RM1.416 bilion, lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan hasil. Ini membolehkan kerajaan negeri mengelakkan defisit fiskal serta mengekalkan kelancaran perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Ahmad Samsuri berkata, belanjawan bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” itu digubal bagi memastikan semua entiti kerajaan negeri bergerak dengan lebih pantas mengembangkan keupayaan bersama.
Beliau merujuk kepada jabatan, agensi, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar seterusnya meraih pencapaian lebih memberangsangkan, ke arah merealisasikan visi “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera” menjelang tahun 2030.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada tiga fokus utama dalam belanjawan berkenaan iaitu memperkemas tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan, menstruktur daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan serta melestarikan keperluan sosial demi kesejahteraan rakyat.
“Bagi memperkemas tadbir urus, kerajaan memberi keutamaan kepada pengukuhan kedudukan fiskal dan peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Pertumbuhan ekonomi, kerajaan berhasrat menggalakkan ekosistem perniagaan, memberdayakan perindustrian dan memperkasakan industri pelancongan serta merancakkan pembangunan dan perumahan.
“Dalam aspek sosial, kerajaan menumpukan usaha menstabilkan akses kepada barangan makanan, membangunkan tenaga kerja terlatih tempatan serta membudayakan gaya hidup sihat, selamat dan bahagia,” katanya.
Ahmad Samsuri percaya hasil negeri mampu melepasi paras RM300 juta, manakala pertumbuhan ekonomi dijangka kekal mampan antara 3.4 hingga 4.2 peratus. – HARAKAHDAILY 11/11/2025











