
ALOR SETAR: Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, telah berjaya menarik 5.2 juta pelancong serta pengunjung sehingga Oktober ini ke negeri itu sejak ia dilancarkan penghujung tahun lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, di samping itu pelbagai pencapaian telah diraih oleh Kedah Tourism, antaranya, World Islamic Tourism Heritage Square 2024 di World Islamic Tourism Awards (WITA 2024).
“Bertemakan “Experience Kedah”, TMK 2025, diiktiraf Leading Emerging Tourism Destination Branding di Indonesia serta menerima Anugerah Tourism dan Cultural Heritage Award sempena IMT-GT Regional Business Awards 2025.
“Malah melalui penyertaan World Expo Osaka 2025, Kedah juga berjaya mempromosikan budaya, warisan dan pelancongan negeri ini dan dihadiri seramai 162,000 pengunjung yang diadakan di Pavillion Kedah.
“Roti canai terbang yang dipersembahkan oleh Muhammad Muiz Ruzaini dari Pokok Sena telah berjaya mempesona pengunjung ekspo tersebut,” kata beliau ketika membentangkan Bajet Kedah 2026, di Wisma Darul Aman, semalam.
Berikutan itu ujarnya, usaha berterusan akan digiatkan bagi mempromosi Kedah melangkau tahun 2025 dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan usaha pemuliharaan nilai warisan yang terdapat di muzium-muzium dan tapak bersejarah seperti di Sungai Batu serta Tapak Arkeologi Lembah Bujang.
Gunung Jerai yang terletak di kawasan Jerai Geopark jelasnya, telah berjaya merekodkan 264,000 pelawat, sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang merupakan peneraju utama pembangunan di gunung itu telah menyediakan pelbagai tarikan.
Antaranya kata beliau, Jerai Sky View, Jerai Sky Bike, Hijau Hijau Place, Jerai Jungle Fun Garden serta tarikan terbaru, Jerai Glamping yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Seperkara lagi, beliau turut menegaskan pencapaian cemerlang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) amatlah membanggakan.
Anugerah kecemerlangan yang diterima oleh PBT itu katanya, membuktikan komitmen padu pihak berkenaan sebagai peneraju pembangunan bandar dan luar bandar.
“Tahniah kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) di atas penganugerahan Anugerah Khas ‘Excellence In Urban Environmental Management Recognition’,” ucapnya.
Sanusi juga tidak lupa merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada MPSPK, Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), MPKP dan PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim yang telah menerima Anugerah Smart City Early Adopter Award 2025 pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025
Tidak terkecuali juga ujar beliau kepada Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) yang diiktiraf sebagai antara 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut berbangga dengan pencapaian institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri iaitu Maktab Mahmud dan Institut Quran Darul Aman (IQDAR) yang sentiasa menunjukkan prestasi kecemerlangan, sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Kedah. HARAKAHDAILY 11/11/2025











