Kelantan terima bayaran royalti emas tertinggi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menjadi penyumbang emas kedua terbesar di Malaysia selepas Pahang yang diikuti oleh Sabah, Terengganu dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Besar, Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan.

- Advertisement -

Bagaimanapun kata beliau, Kelantan menerima royalti tertinggi iaitu 10 peratus yang dibayar dalam bentuk jongkong emas tulen berbanding negeri lain menerima bayaran antara lima hingga 7.5 peratus.

Selain itu menurutnya lagi, kerajaan negeri turut mengenakan ‘tribute’ sebanyak empat peratus kepada syarikat yang mendapat lesen melombong emas Sokor di Tanah Merah dan beberapa lokasi di Gua Musang.

“Daripada negeri ini mengenai kadar royalti lima hingga 7.5 peratus, manakala kadar tribute tiga peratus kepada mana-mana syarikat, tetapi Kelantan royalti 10 peratus lebih tinggi sekali ganda.

“Antara negeri pengeluar emas kitalah yang mendapat daripada syarikat mengeluarkan emas nak dibandingkan dengan negeri lain, kita paling cakna hak rakyat terhadap sumber mineral kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Dato’ Syahbuddin Hashim (BN-Galas) bertanya mengenai langkah negeri dilihat mementingkan syarikat luar berbanding entiti tempatan.

Dr Mohamed Fadzli (PAS-Temengan) juga menjelaskan pihak kerajaan memberi kelulusan untuk melombong emas kepada 20 syarikat termasuk anak tempatan yang mempunyai kemampuan menjalankan aktiviti itu.

Beliau berkata daripada jumlah itu 19 syarikat terbabit menjalankan perlombongan dalam skala lebih kecil jika dibandingkan dengan syarikat CMNM Mining Group yang berpangkalan di Singapura itu.

Kerajaan negeri sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada syarikat tempatan katanya, terdapat empat yang aktif iaitu Yayasan Kraftangan Kelantan, Warisan Tiara, Prima Warisan Venture dan CMNM.

“Tetapi nak bagitahu kepada semua Yang Berhormat, Menteri Besar pun minta saya sebutkan, kita mengalu-alukan terutamanya syarikat Bumiputera mari, kita bukan nak sekat, kita sangat mengalu-alukan ini.

“Namun kita kena pastikan mereka ada kemampuan, kepakaran dan juga mestilah syarikat ini syarikat yang benar-benar berhasrat untuk melombong, bukan untuk menjual kepada syarikat-syarikat lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -