
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan perkembangan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini agak janggal apabila muncul gabungan calon bebas yang dikenali sebagai ‘Gelombang Hitam’ untuk bertanding.
Beliau berkata, keadaan itu belum pernah berlaku dalam sejarah politik negeri berkenaan dan menyeru rakyat Sabah supaya menilai dengan teliti calon yang akan menawarkan diri dalam PRN kali ini.
“Belum pernah lagi dalam sejarah politik Sabah mempunyai calon bebas yang masuk bertanding dalam pilihan raya membentuk suatu pakatan ahli bebas. Namun, diambang PRN kali ini, kita mendengar Gelombang Hitam akan bertanding dalam PRN Sabah.
“Ada sesuatu yang pelik dan rakyat Sabah perlu betul-betul mempertimbangkan calon PRN yang akan menawarkan diri mereka,” ujarnya dalam media sosialnya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan bahawa PERIKATAN NASIONAL (PN) akan meletakkan calon-calon terbaik dalam PRN Sabah bagi menawarkan khidmat kepada rakyat negeri itu.
Menurutnya, antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi PN ialah Karambunai, dengan calon berwibawa Datuk Dr Aliakbar Gulasan mewakili gabungan berkenaan.
“Beliau bukanlah orang yang asing di DUN ini. Datuk Dr Aliakbar merupakan tokoh yang sudah lama bergelumang dengan kehidupan rakyat tanpa perlu menunggu pilihan raya,” jelasnya.
Menurutnya, maklum balas daripada pengundi di Kampung Lokub amat positif terhadap Dr Aliakbar yang dilihat sebagai tokoh berjiwa rakyat dan mampu membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Sudah tiba masanya rakyat memilih seorang individu yang bekerja untuk rakyat dan boleh membawa suara mereka dalam DUN Sabah.
“Rakyat Karambunai sudah memilih wakil mereka daripada pelbagai parti semenjak dahulu, namun kali ini berikan peluang kepada wakil yang akan bertanding mewakili PERIKATAN NASIONAL iaitu Datuk Dr Aliakbar,” terangnya.
Tuan Ibrahim berkata, rakyat Sabah memerlukan pemimpin yang menjaga hubungan dengan Allah, menjaga hubungan sesama manusia serta mengajak rakyat melakukan kebaikan dan meninggalkan kerosakan.
“Ciri-ciri ini saya lihat ada pada Datuk Dr Aliakbar,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kemenangan calon PN, termasuk Dr Aliakbar, akan membawa perubahan positif terhadap landskap politik Sabah.
“Saya yakin kemenangan Dr Aliakbar dan calon-calon PN nanti bakal mengubah landskap politik Sabah ke arah yang lebih baik, insya-Allah. Kepada semua calon PN, _siiru ‘alabarakatillah_,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon, 25 November pengundian awal dan 29 November sebagai hari mengundi bagi PRN Sabah ke-17.
Writ pilihan raya dikeluarkan pada hari yang sama selepas mesyuarat khas SPR berhubung pembubaran DUN Sabah pada 6 Oktober lalu.
Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan dalam PRN17 Sabah yang melibatkan 25 kawasan Parlimen di negeri itu. – HARAKAHDAILY 10/11/2025












