Lantik penghulu cemari semangat Federalisme

- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa terjalin, namun masih ada pihak yang sengaja mengugat keharmonian yang terjalin di bawah semangat Federalisma.

- Advertisement -

Dato’ Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) berkata, di bawah pemerintahan kerajaan hari ini, Kelantan sekali lagi dibelenggu dengan isu pelantikan penghulu dua aliran iaitu negeri dan Persekutuan.

Beliau turut mempertikaikan pelanggaran tersebut masih diteruskan sehingga sekarang walaupun pernah dihentikan ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang bermula Mac 2020 sehingga Oktober 2022.

“Kenapa masih ada lagi penghulu-penghulu, ada penghulu Pusat ada penghulu negeri, kalau kita di negeri ada seorang Menteri Besar, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Pegawai Kewangan semua seorang sahaja.

“Penghulu ini di bawah pegawai jajahan, kita tidak perlu ramai pun, penghulu yang sah ialah yang dilantik oleh negeri kerana ia berada di bawah negeri, tetapi masih ada lagi penghulu lain,” katanya.

Berucap pada sesi perbahasan Belanjawan Kelantan 2026 di sini semalam, Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian itu turut membangkitkan persoalan peruntukan kepada wakil rakyat di negeri itu.

Beliau berkata, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud ketika dilantik Menteri Besar mengumumkan untuk memberi peruntukan yang adil dan saksama kepada wakil pembangkang apatah lagi kerajaan.

Bagaimanapun beliau kesal kerana hasrat tersebut tidak diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan hari ini, bahkan menghentikan peruntukan tahunan yang diterima oleh wakil rakyat negeri untuk bantu rakyat.

“Tetapi saya tak menerima peruntukan Pusat kepada wakil rakyat DUN ini, tetapi semasa pemerintahan PN dahulu, kita terima dana melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebanyak RM300,000 setahun

“Selain itu sebarang projek pembangunan di Kelantan, projek yang akan sampai ke kawasan-kawasan wakil rakyat DUN kita ini dimaklumkan iaitu dalam maklumat setiap wakil ADUN masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -