Cadang pejabat untuk BBC, Ketua Pembangkang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri dicadangkan agar mewujudkan pejabat bagi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Syahbuddin Hashim (BN-Galas) menerusi inisiatif pemerkasaan DUN.

- Advertisement -

Wan Rohimi Wan Daud (PAS-Melor) berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri, ketika berucap pada sesi perbahasan Belanjawan Kelantan 2026 pada Persidangan DUN, di sini semalam.

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) diketuai Dato’ Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) mendapat faedah serupa demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Kalau peruntukan diberikan terus kepada DUN ini saya nak mencadangkan kalau kerajaan kita setuju, mungkin tak boleh tahun ini tahun depan, nak minta supaya BBC dan pembangkang ada sebuah pejabat.

“Kita beri lebih elaun sedikit dengan pembantu dia sebab mereka dipilih oleh rakyat, biarlah kerajaan (pembangkang) di Putrajaya tu zalim kepada kita tak apa, jangan ulangi kezaliman ini,” katanya.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat itu menambah, beberapa siri lawatan Jawatankuasa terpilih DUN Kelantan telah mengadakan kunjungan ke DUN Sabah dan juga Selangor.

Beliau berkata, aktiviti tersebut dibuat bagi memberi pendedahan kepada anggota Jawatankuasa Kecil Pemerkasaan DUN terhadap pengendalian keseluruhan sistem pentadbiran DUN di negeri-negeri terbabit.

Walaupun beliau mengakui Kelantan masih belum mampu melaksanakan cadangan tersebut, namun kerajaan negeri perlu merangka persediaan lebih awal untuk memperuntukkan satu dana khas kepada Pejabat DUN.

“Kita cadangkan diperuntukkan terus kepada DUN dan kerajaan negeri mesti bersedia untuk mencadangkan atau mengadakan pegawai kewangan sendiri kepada DUN kita ini agar DUN dapat menjalankan program.

“Ini seperti program pembangunan ADUN sama ada pembangkang atau kerajaan, menyediakan bengkel serta kajian, saya yakin akan memberi kebaikan kepada semua dalam membangunkan negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -