Kasih Diraja semarak program kebajikan di Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Simpanan Bayi Lahir Tabung Putra Petri Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

- Advertisement -

Majlis anjuran YTSP Perlis itu merupakan antara program kebajikan tahunan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.

Program ini bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan selain menyemai budaya menabung dan perancangan kewangan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Keberangkatan tiba baginda dengan turut menyempurnakan Bantuan Kepada Pesakit-Pesakit Hospital Tuanku Fauziah (HTF) 2025 itu disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus di Hotel Putra Regency, di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Tuanku Dr Lailatul Shahreen berkenan menyampaikan sumbangan Tabung Putra Petri kepada 31 orang bayi yang dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar antara 17 Mei hingga 17 Julai 2025.

Daripada jumlah itu, 26 bayi beragama Islam dan lima bukan Islam masing-masing menerima tabung simpanan dan wang tunai berjumlah RM1,000 yang dikreditkan terus ke dalam akaun mereka.

Bagi bayi beragama Islam, simpanan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji, manakala bagi bukan Islam, simpanan dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Kedua-dua institusi berperanan sebagai pemegang amanah bagi pihak YTSP Perlis dan memastikan wang tersebut hanya boleh dikeluarkan apabila penerima mencapai usia 18 tahun ke atas.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, program Tabung Putra Petri telah memberi manfaat kepada 244 bayi di seluruh negeri Perlis, menjadikannya satu inisiatif berimpak tinggi dalam membentuk asas kewangan masa depan rakyat serta memperkukuh hubungan antara rakyat dengan institusi diraja.

Dalam majlis sama, YTSP Perlis turut menyerahkan bantuan peralatan perubatan kepada lapan pesakit kurang berkemampuan dari Hospital Tuanku Fauziah, terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita.

Bantuan tersebut meliputi barangan seperti cermin mata dan alat sokongan kesihatan, bertujuan memudahkan rawatan dan meningkatkan kualiti hidup penerima.

Sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2007, YTSP Perlis telah menyalurkan lebih RM1.2 juta bagi membiayai bantuan peralatan perubatan kepada lebih 700 pesakit di seluruh negeri sehingga tahun 2025.

Majlis berkenaan sekali lagi menzahirkan komitmen YTSP Perlis di bawah naungan keluarga diraja Perlis dalam meneruskan agenda kebajikan serta membantu rakyat yang memerlukan, seiring dengan hasrat menjadikan negeri Perlis sebagai negeri yang berkat, bestari dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -