Kedah komited tingkat kualiti hidup warga emas

- Advertisement -

KUBANG PASU: Kerajaan Negeri Kedah komited memperkukuh dasar kebajikan sosial dengan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kualiti hidup warga emas serta keluarga menerusi pelbagai inisiatif berasaskan kasih sayang dan kesejahteraan masyarakat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, kerajaan negeri menekankan pembangunan yang bukan sekadar berbentuk fizikal, tetapi turut memberi keutamaan kepada pembangunan jiwa, nilai dan hubungan kemanusiaan dalam kalangan rakyat.

“Ia merupakan bentuk pembangunan yang berasaskan nilai, bukan hanya membina kemajuan fizikal, tetapi juga memperkukuh jiwa dan kasih sayang dalam masyarakat,” ujar beliau.

Menurutnya, program Citra Minda Intergenerasi (CMI) adalah satu pendekatan tepat yang selari dengan keperluan masyarakat masa kini bagi merapatkan jurang antara generasi muda dan warga emas.

“Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, kadangkala jurang antara usia menjadikan kita lupa bahawa kasih sayang dan kebijaksanaan itu tidak mengenal zaman.

CMI ini datang tepat pada waktunya sebagai jambatan penyatu antara masa lalu, masa kini dan masa depan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Citra Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Aktiviti Warga Emas Kubang Pasu, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pelaksanaan program itu mencerminkan iltizam kerajaan negeri dalam memperkasa agenda kebajikan dan kesejahteraan sosial rakyat, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara generasi.

Melalui program tersebut, pelbagai aktiviti intergenerasi diadakan termasuk kelas nostalgia, sukaneka intergenerasi, projek kasih sayang serta seni dan kreativiti animasi yang melibatkan penyertaan aktif warga emas dan generasi muda.

“Saya menyeru agar setiap pihak memainkan peranan dalam membina masyarakat penyayang yang seimbang dari segi emosi, spiritual dan sosial,” tegas beliau.

Program tersebut disifatkan sebagai manifestasi usaha kerajaan negeri dalam membentuk masyarakat yang harmoni, inklusif dan berteraskan nilai kekeluargaan sejati di Kedah Darul Aman. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -