
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan kenyataan bercanggah antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, Ng Kor Sim menunjukkan parti itu tidak sehaluan dalam menangani isu keselamatan jalan raya melibatkan lori lebih muatan.
Beliau merujuk kenyataan Anthony Loke di Parlimen minggu lalu yang menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pengusaha lori membawa muatan berlebihan, sambil menegaskan kepentingan nyawa rakyat perlu diutamakan berbanding keuntungan.
“Beliau (Anthony) menegaskan mana lebih penting? Keuntungan atau nyawa?” ujarnya yang juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor dalam media sosial miliknya.
Namun ujar Roslan, pendirian itu berbeza dengan kenyataan Ng Kor Sim yang menyeru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji semula tindakan tegas terhadap lori lebih muatan kerana dikhuatiri menjejaskan pengilang minyak sawit dan pengguna.
“Anehnya ADUN DAP Jementah pula menyeru JPJ mengkaji semula tindakan tegas terhadap lori seumpama ini, sambil menyatakan kesannya terhadap pengilang minyak dan kemungkinan menjejaskan pengguna. Mana satu yang betul DAP ni? Sama-sama sendiri berbeza pandangan,” tempelaknya.
Menurut beliau, ramai tidak memahami mengapa ADUN berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan isu keselamatan seharusnya menjadi keutamaan.
“Nyawa rakyat tidak pentingkah? Keuntungan kilang sawit dan operator lori lebih penting walau jejaskan keselamatan serta nyawa rakyat?” soalnya.
Roslan turut merujuk infografik yang diterbitkan sebuah akhbar tempatan yang menonjolkan bahaya akibat lori membawa muatan berlebihan.
Kupasnya, antara risiko utama termasuklah pemandu berdepan kesukaran mengawal brek, kesan hentaman yang lebih dahsyat ketika kemalangan, lori mudah hilang keseimbangan di jalan raya serta kawalan stereng yang berkurangan.
Jelasnya, percanggahan pendirian itu menggambarkan kekalutan dalam kalangan parti pemerintah sendiri yang memikul tanggungjawab mentadbir negara.
“Makin kalut nampaknya parti pemerintah yang memikul tanggungjawab mengurus rakyat ini. Apa lagi lepas ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025











