
ALOR SETAR: Dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Kedah telah menaikkan Cukai Taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali, demikian jelas Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kata beliau, cadangan kenaikan cukai berkenaan akan dibuat analisis atau rumusan selepas proses bantahan, sama ada menurunkannya, mengekal atau membatalkan.
Walau bagaimanapun katanya, ia tidak mungkin dibatalkan berikutan kenaikan itu mempunyai keperluan tertentu khususnya pengurusan di pihak MBAS sendiri.
“Cadangan itu akan dibawa kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN), selepas itu baharulah diwartakan sebelum dilaksana atau dikuatkuasakan. ADUN Kota Darul Aman, tuduh saya luluskan kenaikan cukai, sedangkan ia belum diluluskan lagi
“Tuduhan itu tidak benar. Jadi, perlu dengar maklumat yang sahih daripada ahlinya bukan dari yang bukan ahli, akan jadi keliru,” kata beliau ketika ditemui media selepas pembentangan Bajet Kedah 2026, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurut Sanusi lagi, MBAS atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membuat cadangan melalui proses undang-undang untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri, sementara Kerajaan Negeri pula, berhak untuk memberi pandangan berdasarkan undang-undang yang telah diperuntukkan.
“Kerajaan Negeri perlu pertimbangan cadangan dan kehendak PBT kerana kenaikan cukai ini berdasarkan keperluan, contohnya berkaitan perbelanjaan semasa untuk mengurus kerja-kerja di bawah peruntukan PBT.
“Oleh itu perlu ada pertimbangan yang rasional bukannya menangguk di air keruh dan semestinya kerajaan yang baik akan membuat pertimbangan yang wajar,” kata beliau lagi.
Ahli Dewan Undangan(ADUN) Jeneri itu juga menegaskan, pihaknya memahami, tiada siapapun yang suka sekiranya cukai dinaikkan, malah beliau sendiri terlibat kerana mempunyai kediaman di kawasan MBAS.
Namun jelasnya, perkara itu merupakan keperluan di pihak MBAS atau PBT untuk berbuat demikian seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang
“Kalau ada yang tidak suka kepada kenaikan cukai, boleh kemukakan cadangan pinda undang-undang ini di parlimen di bawah Akta 171. Kalau undang-undang membenarkan kenapa ia menjadi satu kesalahan sedangkan semua pengurusan kerajaan berdasarkan undang-undang.
“Walau bagaimanapun, saya akan pastikan kenaikan cukai itu tidak akan membebankan pihak yang terlibat” tambahnya yang dalam pada itu menegaskan, Belanjawan Kedah 2026 yang dibentangkan hari ini mencangkupi serta meliputi semua aspek.
Justeru ujarnya, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang hanya memberi fokus peranan kerajaan kepada PBT atau MBAS sahaja, sedangkan perkara yang lebih besar yang perlu diberi perhatian apakah tindakan serta pendekatan kerajaan untuk 2026 akan datang.
“Ini tidak, cukai belum naik, depa (mereka) dah fitnah, termasuk seorang menteri, saya tengok ucapan dia konon Sanusi lulus kenaikan cukai. Jadi menteri tak boleh tuduh semborono begitu.
“Satu soalan untuk dia, ‘bila lulus’?” persoal beliau menyasarkan menteri berkenaan.
Dalam pada itu Sanusi turut memaklumkan bantuan khas kepada 5,000 kakitangan awam Kerajaan Negeri Kedah, sebanyak RM2,000 melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta, akan dibayar pada Januari dan Mac tahun hadapan.
Selain itu, beliau juga menganggarkan kutipan hasil pada tahun hadapan akan melebihi sasaran RM838 juta seperti mana anggaran kutipan tahun 2025 yang menunjukkan kenaikan 102 peratus dari sasaran asal.
“Yang penting tidak berlaku penyelewengan. Menjaga amanah, berjimat cermat, naik cukai bukan masuk poket pemimpin kerajaan sebaliknya semua itu untuk rakyat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/11/2025




















