
KUALA LUMPUR: Datuk Ustaz Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, walaupun negara telah merdeka selama 68 tahun, fenomena polarisasi semakin ketara sama ada di peringkat kepimpinan negara ataupun dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, polarisasi dengan mudahnya difahami apabila sukar mencari titik persamaan dan sering cenderung mencari titik perbezaan.
Lebih membimbangkan lagi terangnya, perkara itu berlaku dalam ruang digital ketika ini di mana medan utama pertembungan persepsi antara kaum, agama dan parti politik.
Beliau menegaskan, media sosial sepatutnya menjadi jambatan komunikasi, namun telah berubah menjadi perang maklumat yang membiakkan kebencian, salah faham dan stereotaip antara kelompok masyarakat.
Menurut beliau, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di negara ini sepatutnya diibaratkan seperti anyaman tikar yang pelbagai warna, di mana setiap jalur dan warna memiliki keindahan serta nilai tersendiri.
“Namun apabila dianyam dengan baik, maka di sana adanya nilai kasih, hormat, tolak ansur, maka terhamparlah satu keindahan kukuh dan harmoni,” ujarnya ketika membahaskan Belanjawan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Perpaduan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini hari ini.
Masyarakat Arab Makkah Madinah
Beliau yang juga Naib Presiden PAS turut membacakan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 13.
“Wahai manusia. Allah Taala menyebut tentang ‘ya ayyuhannas’, Dia tidak sebut ‘ya ayyuhallazi na amanu’. Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan.
“Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa bersuku puak. Tujuannya apa? ‘Litaarafu’ ialah untuk berkenal-kenalan di kalangan mereka,” petiknya.
Terangnya, sebab itulah Nabi SAW ketika berhijrah daripada Makkah ke Madinah, selain daripada agenda yang lain, Baginda meletakkan asas yang pertama iaitu soal wahdah (penyatuan) dalam kalangan masyarakat Arab yang berada di Madinah pada ketika itu.
Beliau menjelaskan, masyarakat Arab di Madinah waktu itu lebih kompleks daripada yang ada di negara ini, seperti kaum Aus dan Khazraj sebelum itu bergaduh serta berbunuhan sesama sendiri dalam peperangan Bu’ath lima tahun sebelum Nabi berhijrah.
“Begitu juga dengan orang Yahudi dari kalangan Bani Qainuqa dan Bani Nazir. Maka nak menggambarkan tentang pentingnya soal pendudukan peribumi ini ialah pentingnya kita dalam soal untuk memberikan pengiktirafan kepada soal peribumi di negara kita,” kupasnya.
Perpaduan Kelantan
Menurut Idris, walaupun rakyat marah kepada penjajah, sekurang-kurangnya penjajah telah meletakkan soal Perkara 153 berkaitan hak istimewa orang Melayu sebagai sebahagian daripada kontrak sosial.
“Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan perpaduan di negara kita ini mesti mengambil kira soal anak peribumi dari kalangan Bumiputera yang terdapat di negara kita,” ulasnya.
Beliau berkata, perkara itu cuba dilaksanakan di Kelantan sejak 53 tahun PAS memerintah negeri itu, iaitu dari tahun 1959 hingga 1978 dan kemudian tahun 1990 hingga sekarang.
Jelasnya, tidak ada rekod menunjukkan berlakunya penindasan kaum atau polarisasi kaum yang dahsyat sehingga berlaku pembunuhan walaupun orang bukan Islam minoriti di Kelantan.
“Sebab apa? Sebab agama kita mengajar tak boleh kamu menyakiti orang lain. Kerana Allah SWT telah menyebut dalam al-Quran, (dalam Surah Al-An’am ayat 108).
“‘Allah Taala kata, jangan kamu cerca sembahan orang lain. Peringatan kepada orang Islam, jangan kamu cerca sembahan orang lain. Nanti kalau kamu cerca tokong mereka, berhala mereka, nanti mereka pula akan cerca kamu’” petiknya lagi.
Menurutnya, sebab itulah di Kelantan banyak berhala-berhala kerana ia menunjukkan Islam mengajar mengenai kaitan dosa dan pahala.
“Walaupun kamu tak Islam, kamu tak boleh buat dosa, kamu tak boleh buat aniaya, kamu tak boleh buat zalim dengan orang-orang bukan Islam kerana ianya akan melibatkan soal dosa dan pahala pada hari akhirat nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025











