
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sejumlah RM1.938 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM450 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan dalam Belanjawan Negeri 2026 yang dibentangkan hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah hasil negeri dianggarkan berjumlah RM1.998 bilion, dengan tumpuan diberikan kepada keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam meningkatkan hasil janaan negeri namun pelaksanaan pelbagai dasar fiskal serta program dan projek adalah menekankan rangsangan pertumbuhan ekonomi dan sosial yang seimbang bagi menjamin kesejahteraan yang menyeluruh dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, Belanjawan Terengganu 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” turut menumpukan usaha memperkemas tadbir urus kerajaan negeri, memperkukuh daya tahan ekonomi serta memastikan kesejahteraan sosial rakyat sentiasa terpelihara.
“Kerajaan negeri mensasarkan pertumbuhan ekonomi antara 3.4 hingga 4.2 peratus serta mengekalkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pencapaian semasa menunjukkan negeri berada di landasan tepat dengan beberapa petunjuk utama menunjukkan perkembangan positif.
“Bagi tempoh RMK12 dari tahun 2021 hingga 2024, purata hasil janaan negeri meningkat sebanyak 11.9 peratus kepada RM264.88 juta setahun berbanding RM236.77 juta setahun bagi tempoh RMK11; manakala ekonomi pula berkembang secara purata 4.1 peratus setahun berbanding 1.9 peratus setahun bagi tempoh RMK11.
“Nilai pelaburan kumulatif bagi tempoh RMK12 sehingga Jun tahun ini meningkat sebanyak 48.2 peratus kepada RM14.3 bilion berbanding RM9.6 bilion bagi sepanjang tempoh RMK11.
“Manakala bilangan perniagaan dan syarikat yang beroperasi di Negeri Terengganu meningkat sebanyak 12.7 peratus kepada 38,448 dengan semua sektor merekodkan pertambahan berbanding 34,126 pada tahun 2024,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, kadar pengangguran sehingga suku kedua 2025 menurun kepada 2.8 peratus berbanding 3.4 peratus pada suku keempat 2024.
Di samping itu, kata beliau Terengganu turut memperoleh skor Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang tertinggi iaitu 8.64 pada 2024 menjadikan negeri ini sebagai negeri di tahap sangat bahagia.
“Peratus kebahagiaan Negeri Terengganu dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia pada tahun 2025 juga meningkat kepada 89.4 peratus berbanding 87.6 peratus pada tahun 2024.
“Saya percaya bahawa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh warga sektor awam, pihak swasta dan rakyat terhadap kerajaan negeri adalah kunci sebenar kepada prestasi ini dan begitu juga kejayaan akan datang, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025




















