
KUALA TERENGGANU: Portal Jodoh Darul Iman yang dilancarkan pada 6 Ogos lalu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencatatkan sambutan luar biasa daripada rakyat negeri ini, dengan penyertaan hampir empat kali ganda daripada sasaran awal.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, portal berkenaan menerima sambutan melebihi jangkaan awal iaitu 500 orang.
Beliau berkata, portal yang diwujudkan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu bertujuan membantu golongan bujang, duda, janda dan balu mencari pasangan hidup secara patuh syariah dan terkawal.
“Setakat 16 September 2025, seramai 2,048 orang telah mendaftar, termasuk 1,550 orang berjaya daftar penuh manakala 498 orang masih dalam penilaian semula,” katanya menerusi teks yang dibaca oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut beliau, peserta yang mendaftar mengikut kategori umur di bawah 25 tahun seramai 359 orang, 26 hingga 35 tahun seramai 907 orang, 36 hingga 50 tahun 268 orang dan 51 tahun ke atas 16 orang.
“Bagi status peserta pula, seramai 1,354 orang adalah bujang, 103 orang duda, 80 orang janda dan 13 orang balu. Calon lelaki berjumlah 869 orang manakala wanita 681 orang,” katanya.
Beliau berkata, portal ini turut mengadakan sesi perjumpaan pertama sama ada secara fizikal atau atas talian.
“Daripada 70 pasang yang terlibat, 19 pasang berjaya dalam proses taaruf, 34 pasang tiada keserasian, manakala 17 pasang masih dalam proses perbincangan tarikh untuk pertemuan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu rakyat mencari pasangan hidup, malah memperkukuh institusi kekeluargaan serta menangani isu lewat berkahwin dalam kalangan masyarakat Terengganu. – HARAKAHDAILY 10/11/2025











