Gagal faham fiskal: Sabah ditindas, negeri-negeri Melayu dipinggir

- Advertisement -

MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu telah memihak kepada Sabah dalam tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman itu menegur Kerajaan Persekutuan kerana gagal menunaikan kewajipan perlembagaan selama hampir setengah abad. Ini bukan isu Sabah semata, tetapi cermin kepada kecacatan sistem federalisme Malaysia.

Bila Perdana Menteri berkata, “RM10 bilion dikutip, RM17 bilion diberi semula kepada Sabah,” itu bukan jawapan tapi tanda kekeliruan fiskal.

Beliau mencampuradukkan dua akaun yang berbeza:

- Advertisement -

a. Akaun perbelanjaan kerajaan pusat iaitu duit pentadbiran untuk semua rakyat Malaysia.

b. Akaun hak negeri iaitu hasil yang wajib dipulangkan kepada Sabah kerana dikutip dari negeri itu.

Perbelanjaan untuk sekolah, hospital, balai polis dan jalan raya ialah kos operasi biasa kerajaan. Ia bukan pulangan hasil.

Hak 40 peratus Sabah ialah duit rakyat Sabah yang dikutip oleh pusat dan wajib dipulangkan semula.

Menyamakan dua akaun ini ibarat majikan berkata:

“Saya dah bayar gaji kamu sebab saya dah beli cat pejabat dan lampu baru untuk kamu.”

Sedangkan yang dibayar hanyalah kos operasi bukan gaji tertunggak.

Inilah punca sebenar federalisme Malaysia tempang.

Bila prinsip asas fiskal pun keliru, keadilan wilayah mustahil berlaku. Maka lahirlah jurang antara negeri penyumbang hasil dan negeri penerima perbelanjaan.

Dalam Belanjawan 2025, corak ini sudah jelas:
a. Kelantan menerima RM3.19 bilion,
b. Terengganu RM1.836 bilion,
c. Pulau Pinang RM2.5 bilion, tetapi di luar angka itu mendapat projek nasional LRT Mutiara Line RM16.8 bilion serta projek air dan infrastruktur tambahan hampir RM1 bilion.

Negeri pengeluar minyak menunggu lebuh raya siap; negeri industri kecil menikmati sistem rel moden bertaraf dunia. Siapa sebenarnya dimanjakan?

Belanjawan 2026 membuktikan pola ini berulang:

a. Peruntukan Kementerian Kesihatan hanya naik 2.7 peratus walaupun kos ubat dan peralatan meningkat 17 peratus, menyebabkan hospital luar bandar Pantai Timur terus kekurangan mesin dan katil.

Di HSNZ Kuala Terengganu, bayi tenat terpaksa dihantar ke UIA Kuantan kerana tiada ventilator neonatal.

b. Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) bernilai RM9.8 bilion masih ‘dalam kajian’ walau pelan siap sejak 2022.

c. Pelabuhan Kemaman, dengan kedalaman semula jadi 16 meter, sepatutnya mampu menjadi hab eksport sumber nadir bumi (REE).
Terengganu memiliki lebih 7 juta tan metrik REE, simpanan terbesar di Malaysia, namun potensi ini terbantut kerana tiada pelabuhan khusus dan tiada pelaburan hiliran strategik.

Ironinya, sumber yang boleh menjadi nadi baharu ekonomi negara dibiarkan sepi, sedangkan projek LRT bernilai RM16.8 bilion di Pulau Pinang terus mendapat keutamaan dalam rancangan nasional.

Negeri pengeluar hasil seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak bukan miskin kerana gagal mentadbir, tetapi kerana dasar fiskal pusat menyerap hasil mereka tanpa pulangan setara.

Bila hasil bumi dikutip pusat dan projek mega disalurkan ke negeri lain, ketidakseimbangan ini akan kekal turun-temurun.

Federalisme yang sepatutnya menjamin keadilan wilayah kini menjadi sistem yang mengagih kuasa tanpa mengagih hak.

Sabah dan Sarawak ditangguhkan hak 40 peratus mereka; negeri-negeri Melayu Pantai Timur pula dilayan sebagai penerima ehsan, bukan rakan setara dalam Persekutuan.

Firman Allah kepada Nabi Daud AS:

﴿يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى﴾

”Wahai Daud, Kami lantik engkau sebagai pemimpin di bumi. Maka berilah keputusan dengan adil dan jangan ikut hawa nafsu.” (Sad: 26)

Keadilan bukan soal ihsan, tetapi soal amanah. Bila hak negeri diagih secara tempang, yang miskin bukan gagal tetapi ditahan daripada berkembang.

Kalau Sabah yang haknya tertulis dalam Perlembagaan pun boleh disilap tafsir, apa nasib negeri lain yang hanya bergantung pada janji Putrajaya?

MOHD HASNIZAN HARUN
Ahli Parlimen Hulu Selangor – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -