Tarik 50 pelaburan bernilai RM9.874b dan 5,661 pekerjaan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu berjaya menarik sebanyak 50 projek pelaburan bernilai keseluruhan RM9.874 bilion sepanjang tempoh 2022 hingga Jun 2025, sekali gus mewujudkan lebih 5,661 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8.687 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai hasil pelaksanaan pelbagai misi pelaburan strategik ke luar negara yang dijalankan bersama MIDA, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan agensi berkaitan.

“Usaha tersebut memberi tumpuan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi menarik pelaburan asing berimpak tinggi serta memperkukuh hubungan strategik dengan pelabur luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Nurkhuzaini berkata, Kerajaan Negeri Terengganu melalui agensi-agensi berkaitan sentiasa proaktif dalam melaksanakan misi pelaburan strategik ke luar negara bagi memperkukuh asas ekonomi negeri,.

Juga menarik FDI serta memacu pertumbuhan sektor berimpak tinggi seperti teknologi hijau, sumber mineral nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), dan minyak serta gas.

“Antara pencapaian utama termasuk kerjasama teknologi NR-REE dengan Australia, Jepun dan Korea Selatan bagi mendapatkan teknologi pemprosesan mesra alam dan berdaya saing,” katanya.
   
Kata beliau, dalam sektor minyak dan gas, syarikat milik kerajaan negeri, EPIC Berhad, berjaya memperoleh pelbagai kontrak dalam aktiviti hiliran dan logistik.

Selain itu, beliau berkata, rundingan juga sedang dijalankan dengan syarikat berpangkalan di Oman bagi pengambilalihan dua lapangan minyak dengan kerjasama strategik bersama PETRONAS.

Katanya, kerajaan negeri turut melancarkan Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030) dengan sasaran penjanaan tenaga hijau sebanyak 4 gigawatt menjelang 2030, bersamaan 20 peratus daripada kapasiti tenaga hijau nasional.

“Antara projek utama termasuk Projek Hibrid Hidro-Floating Solar di Tasik Kenyir, Loji Hidrogen PETRONAS di Kerteh, Taman Perindustrian Kemaman untuk industri hiliran CCUS dan projek rintis kincir angin di Kemaman,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan negeri memperkenalkan Dasar Pelaburan dan Perindustrian Terengganu 2023-2030, memberi tumpuan kepada enam kluster strategik minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik, bioteknologi dan teknologi bangunan.

Mohd Nurkhuzaini berkata, kesemua misi pelaburan ini dirancang dengan teliti dan berpandangan jauh untuk memastikan Terengganu kekal berdaya tahan dan berimpak tinggi menjelang 2030. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -