
KUALA TERENGGANU: Pembinaan Terminal Bas Jertih yang bermula hujung tahun lalu dijangka siap sepenuhnya pada 23 Jun 2027, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Fasiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat.
Beliau berkata, menurut laporan terkini, kemajuan fizikal projek mencatat 11.62 peratus, sedikit tertinggal daripada jadual asal 13.51 peratus, iaitu kelewatan sebanyak -1.89 peratus atau bersamaan enam hari bekerja.
“Kelewatan utama berlaku di sebabkan oleh kegagalan pihak kontraktor dalam mengikut jadual bagi kerja-kerja pengujian piling sebagaimana yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Riduan Mohamad Nor (PAS-Jertih) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Bagi mengatasi kelewatan, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan surat amaran kali ketiga dan mengarahkan pihak kontraktor mengemukakan ‘Recovery Plan’ supaya projek kembali mengikut jadual.
Untuk rekod, terminal baharu itu akan menawarkan kemudahan pengangkutan awam bersepadu dan selesa, termasuk bangunan terminal, rumah sampah, rumah pam air bersih, tangki sedutan dan rumah pam ‘hose reel’.
Kerja-kerja luar merangkumi jalan dalaman, longkang, sistem kumbahan dan retikulasi paip air luaran, manakala kerja mekanikal dan elektrikal dijalankan mengikut spesifikasi projek.
Sementara menunggu siapnya terminal baru, Terminal Bas Sementara di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jabi telah mula beroperasi sejak April 2025, bagi menampung keperluan pengguna.
Kos projek dianggarkan sebanyak RM14.28 juta, membabitkan pelanggan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dengan pegawai penguasa daripada Jurutera Daerah, JKR Besut. – HARAKAHDAILY 10/11/2025











