Bajet 2026: MB Kedah yakin hasil lebih dari anggaran

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan anggaran pendapatan hasil tahun 2026 sebanyak RM838 juta dengan peningkatan RM48 juta berbanding anggaran 2025.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, keseluruhan Bajet 2026 pula dianggarkan sebanyak RM1.33 bilion, melibatkan peruntukan Perbelanjaan Mengurus, Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan Kumpulan Wang Bekalan Air.

“Bajet Kedah tahun 2026 merupakan bajet tahun pertama dalam Rancangan Pembangunan Malaysia Ke -13 (RMK-13) dan Kedah masih meneruskan agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah 2050.

“Kerajaan Negeri juga perlu mengimbangi sumber untuk membiayai keperluan perbelanjaan negeri dan hasil yang dikutip daripada rakyat perlu dikembalikan kepada rakyat sepenuhnya bertepatan dengan konsep ‘Hasil Untuk Pembangunan’,” ujar beliau ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Anggaran hasil pendapatan 2026, katanya dipecahkan kepada beberapa kategori iaitu hasil tanah berjumlah RM554.81 juta, pelbagai hasil (RM232.88 juta), hasil hutan (RM33 juta) dan hasil daerah sebanyak RM17.31 juta.

Sementara anggaran peruntukan perbelanjaan mengurus 2026 ujar beliau dicadangkan sebanyak RM937 juta dengan kenaikan berjumlah RM47.1 juta atau 5.29 peratus.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM91.4 juta diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air,” jelas beliau.

Sementara di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan bagi maksud Perbelanjaan Tanggungan adalah berjumlah RM87.33 juta manakala Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM849.67 juta.

Dalam pada itu tambah Sanusi, anggaran Kumpulan Wang Pembangunan untuk tahun 2026 terdiri daripada tiga Kumpulan Wang dengan keseluruhan anggaran peruntukan berjumlah RM491.42 juta.

Jumlah itu katanya menunjukkan kenaikan RM30.17 juta berbanding peruntukan tahun 2025.

Mengulas lanjut, kata beliau, Kumpulan Wang Pembangunan Negeri pula dianggarkan sebanyak RM244.44 juta, melibatkan peruntukan pembangunan bagi 10 jabatan pelaksana.

Anggaran itu terdapat kenaikan yang ketara bagi peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri ini dengan kenaikan sebanyak RM34.66 juta.

“Sementara bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dianggarkan sebanyak RM4.8 juta melibatkan sejumlah RM4.55 juta daripada Hasil SES untuk menampung lima lima kod perbelanjaan yang diluluskan berjumlah RM4.8 juta.

“Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air pula berjumlah RM242.18 juta yang  melibatkan RM241.41 juta daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan untuk tiga projek pinjaman sejumlah RM770,000 yang disediakan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri,” jelas beliau.

Justeru itu katanya, mengambil kira anggaran hasil berbanding Peruntukan Perbelanjaan Mengurus, Peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri serta Kumpulan Wang Bekalan Air, bajet Kedah 2026 dijangka mengalami defisit 11.81peratus iaitu RM99 juta.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yakin dengan perbelanjaan berhemah perkara itu dapat diatasi.

“Bajet 2025 juga dijangka defisit RM90 juta tetapi Alhamdulillah, kita surplus dan berlaku peningkatan hasil hingga ke 102 peratus.

“(Tahun) 2026 ini InsyaAllah, kutipan akan melebihi anggaran dan perbelanjaan kurang dari anggaran,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -