Catat 2,256 peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu berjaya mewujudkan 2,256 peluang pekerjaan hasil pelaburan baharu dalam tempoh 2024 hingga pertengahan 2025, jelas Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri.

- Advertisement -

Mohd NurKhuzaini Ab Rahman berkata, pencapaian itu dicapai melalui pelaksanaan projek pelaburan dalam dua sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, bagi tahun 2024, sektor pembuatan menyumbang 247 peluang pekerjaan, manakala sektor perkhidmatan hanya lima peluang pekerjaan.

“Pada separuh pertama tahun 2025, jumlah peluang pekerjaan meningkat dengan ketara apabila sektor pembuatan menyumbang sebanyak 1,971 peluang pekerjaan dan sektor perkhidmatan pula sebanyak tiga peluang pekerjaan.

“Secara keseluruhannya, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan pasaran pekerjaan baharu di Terengganu dengan jumlah keseluruhan 2,218 peluang pekerjaan, diikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak 38 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khazan Che Mat (PAS-Seberang Takir) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Khazan dalam soalannya minta menyatakan bilangan peluang pekerjaan yang berjaya diwujuakan melalui pelaburan baru di Terengganu dalam tahun 2024 sehingga pertengahan 2025.

Nurkhuzaini berkata, data berkenaan mencerminkan kesan positif pelaburan baharu terhadap pembangunan ekonomi negeri serta menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi industri di Terengganu.

“Pencapaian tersebut memberi impak tinggi dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan serta menyokong usaha kerajaan negeri memperkukuh pasaran pekerjaan dan ekonomi setempat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -