
KUALA LUMPUR: Isu tular melibatkan seorang barista wanita di kedai kopi terkenal kini menjadi perhatian ramai apabila rakaman menunjukkan pelanggan yang dipercayai warga dari tanah besar China bertindak biadab dengan menumpahkan air kepada pekerja tersebut.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan netizen yang rata-rata menzahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap staf berkenaan, malah ada memberi amaran untuk mengadakan boikot sekiranya staf itu dibuang kerja.
Antara komen yang menarik perhatian termasuk, “Saya hairan kenapa masih ramai tak boleh beza antara loghat tempatan dan aksen China,” dan “Apa yang adik tu buat memang betul. Tapi kalau ikut polisi syarikat, dia boleh kena buang kerja walau dia tak salah.”
Perdebatan turut tercetus mengenai konsep ‘Customer Always Right’ yang sering dijadikan alasan dalam banyak industri termasuk makanan dan minuman (F&B) hingga membenarkan pelanggan bertindak sewenang-wenangnya.
Ramai memberi pandangan walaupun prinsip itu bertujuan mengekalkan kepuasan pelanggan, ramai berpendapat ia tidak boleh dijadikan tiket untuk pelanggan memperlakukan pekerja sesuka hati melebihi batas hormat dan kemanusiaan.
Ada juga netizen mengingatkan bahawa syarikat seharusnya menjalankan siasatan dalaman secara adil, bukan hanya menilai dari perspektif pelanggan di mana keadilan buat pekerja juga perlu ditegakkan, apatah lagi mereka berdepan tekanan tinggi setiap hari melayan pelbagai ragam manusia.
Dalam konteks ini, isu maruah pekerja tempatan turut menjadi perhatian kerana dilihat tidak wajar pekerja yang mempertahankan diri apabila dihina atau diganggu dilabel sebagai tidak profesional, sedangkan tindakan itu lahir daripada emosi dan tekanan sukar dikawal.
Kejadian ini boleh dilihat menjadi cerminan kepada realiti dunia pekerjaan hari ini di mana pekerja barisan hadapan sering menjadi mangsa, manakala pelanggan dilindungi atas nama ‘hak pengguna’.
Perdebatan ramai turut menyatakan bahawa pekerja tidak harus menunduk tanpa suara, sekali gus menjadi peringatan buat majikan menilai semula dasar layanan terhadap staf; bukan sahaja menjaga nama baik jenama, tetapi juga menjaga maruah manusia yang menggerakkan perniagaan itu sendiri. – HARAKAHDAILY 10/11/2025











