Tasik UniSHAMS bakal jadi hab sukan air Wilayah Utara

- Advertisement -

BALING: Tasik Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) kini melakar nama sebagai pusat utama pembangunan sukan air di negeri Kedah dan Wilayah Utara.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Md Din berkata, tasik berkenaan mempunyai potensi besar untuk menjadi gelanggang utama bagi pelbagai acara air seperti perahu naga dan regatta,

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata, ia sekali gus menjadikan tasik itu destinasi baharu bagi aktiviti sukan dan pelancongan negeri.

“Ucapan tahniah ditujukan kepada Pusat Sukan dan Rekreasi UniSHAMS di bawah pimpinan Raja Zulkhairil Ikram Raja Adzhar atas kerjasama erat serta penyediaan kemudahan Tasik UniSHAMS yang unik dan strategik sebagai gelanggang kejohanan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Discover Magnificent Baling Regatta 2025 yang diadakan di Tasik UniSHAMS, Kuala Ketil di sini kelmarin.

Kejohanan kali ini menyaksikan 29 pasukan bertanding dalam tiga kategori utama iaitu Perahu Naga 12 kru Terbuka, Perahu Naga 10 kru Terbuka, dan Perahu Naga 12 kru jemputan Pejabat Daerah.

Menurut Muhammad Radhi, penganjuran regatta bukan sahaja meraikan semangat kesukanan dan kehebatan atlet, tetapi turut mempromosikan keindahan alam semula jadi serta keunikan Daerah Baling sebagai destinasi pelancongan yang menakjubkan.

“Regatta membuktikan bahawa sukan air bukan sekadar pertandingan, tetapi juga jambatan yang mengeratkan hubungan antara komuniti, memupuk kerjasama dan memperkenalkan keindahan Baling kepada seluruh pelusuk negara,” ujarnya.

Tambah beliau, acara seperti ini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan, pendidikan dan aktiviti komuniti, seiring aspirasi kerajaan negeri dalam menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025.

“Saya yakin dengan sinergi berterusan antara Pejabat Daerah dan Tanah Baling, UniSHAMS serta Kementerian Belia dan Sukan, Tasik UniSHAMS akan berkembang sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Regatta Utara Malaysia pada masa akan datang,” katanya lagi.

Majlis penutupan regatta berprestij itu turut disertai oleh para peserta, penggiat sukan air serta warga tempatan yang bersama memeriahkan suasana, menandakan satu lagi kejayaan buat Kedah dalam memperkukuh sukan berasaskan air di peringkat kebangsaan. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -