
KOTA BHARU: Pengalaman dan hikmah yang dimiliki oleh para mantan pemimpin amat bernilai, bukan sekadar sejarah tetapi panduan kepada generasi pelapis dalam meneruskan perjuangan Islam di Kelantan.
Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, nilai pengalaman itu perlu dihargai kerana menjadi asas kekuatan kepada kesinambungan dasar pentadbiran negeri berteraskan Islam.
“Pengalaman dan hikmah para mantan adalah khazanah yang sangat berharga. Ia bukan sekadar catatan sejarah, tetapi panduan dan pedoman dalam memastikan perjuangan Islam terus subur,” ujarnya pada Majlis Mahabbah Kerajaan Kelantan Bersama Mantan Wakil Rakyat di sini.
Beliau berkata, majlis seumpama itu menjadi manifestasi kasih dan penghargaan terhadap para pejuang Islam yang telah menabur jasa sama ada masih bersama atau telah kembali ke rahmatullah.
Ahmad menegaskan setiap ahli gerakan Islam mempunyai tanggungjawab besar bukan sahaja mempertahankan dasar “Membangun Bersama Islam” (MBI), tetapi juga memperluas kefahaman serta pelaksanaannya dalam semua aspek kehidupan masyarakat.
“Peranan kita adalah memastikan MBI terus menjadi obor penerang dalam pentadbiran negeri, mendidik rakyat dengan nilai Islam dan membuktikan Islam itu bukan hanya teori tetapi sistem hidup yang lengkap dan adil.
“Kita mesti terus menjadi benteng kepada dasar ini, mempertahankannya dengan ilmu, dengan amal dan dengan akhlak,” katanya lagi.
Tambah beliau, perjuangan Islam tidak akan kekal dengan retorik semata-mata, sebaliknya memerlukan kesatuan hati dan keikhlasan dalam beramal.
Beliau turut mengingatkan kata-kata Ibn Khaldun bahawa “barang siapa tidak mengambil pelajaran daripada masa lalu, dia tidak akan mampu menghadapi masa depan.”
Sehubungan itu Ahmad, yang juga bekas Menteri Besar Kelantan, menyeru seluruh anggota gerakan Islam terus beristiqamah dalam saf perjuangan sama ada di dalam mahupun di luar medan politik.
“Sumbangan dan doa kita tetap menjadi tenaga penting untuk kesinambungan dasar “Membangun Bersama Islam” yang telah menjadi tunjang pentadbiran negeri Kelantan.
“Mudah-mudahan pertemuan penuh kasih ini diberkati Allah SWT dan ukhuwah yang terbina hari ini menjadi pemangkin kepada kekuatan umat serta kemakmuran negeri yang kita cintai ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2025











