MBI beri perubahan luar biasa kepada politik Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Falsafah “Membangun Bersama Islam” (MBI) yang diasaskan kerajaan PAS selepas mengambil alih pentadbiran Kelantan pada tahun 1990 telah membawa perubahan luar biasa dalam sejarah politik dan pentadbiran negeri ini.

- Advertisement -

Bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dr Sanusi Daeng Mariok berkata, kekuatan Islam menjadi asas kebangkitan Kelantan di bawah corak pentadbiran berteraskan MBI yang berpaksikan keseimbangan dunia dan akhirat sehingga berjaya memacu Kelantan hingga hari ini.

“Dengan Islam inilah kita membangunkan Kelantan melalui MBI sebagai corak pentadbiran yang menjadikan wakil rakyat bersikap positif, membangun negeri demi kepentingan dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika berucap pada Majlis Mahabbah Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Mantan Ahli Yang Berhormat Kerajaan Membangun Bersama Islam, di sini.

Menurutnya, keistimewaan Kelantan juga terserlah apabila kepimpinan negeri diterajui oleh golongan ulama yang bukan sekadar orang alim, tetapi tokoh berilmu dan beramal mentadbir negeri serta mentarbiah rakyat.

“Pimpinan bukan seperti burung kakak tua yang hanya pandai bercakap tetapi tidak tahu buat apa-apa. Sebaliknya, pimpinan kita berbuat, mendidik dan mentarbiah rakyat hingga berjaya sebagaimana apa yang mereka cakap.

“Inilah kekuatan luar biasa kerajaan PAS Kelantan hingga berjaya memacu negeri 35 tahun lamanya,” ujar beliau yang juga bekas Naib Presiden PAS.

Dr Sanusi menegaskan, kekuatan PAS Kelantan adalah kerana para pemimpinnya berpegang teguh kepada prinsip Islam dalam kehidupan, menjadikan ia sumber kekuatan yang berterusan selama 35 tahun pemerintahan.

“Kerajaan Kelantan hari ini mencapai perkembangan luar biasa. Kita harap semua mantan wakil rakyat, dewan-dewan dalam PAS, Jabatan Amal dan seluruh jentera parti bersatu elak perpecahan supaya kekuatan ini terus dipertahankan,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan PAS Kelantan adalah kekuatan PAS seluruh negara kerana dari sinilah kebangkitan Islam bermula dan berkembang semula selepas jatuh pada tahun 1975 dan 1978.

“Saya berharap kerajaan hari ini kekal kuat dan terus bekerja bersungguh-sungguh mempertahankan pemerintahan ini agar usianya dilanjutkan sebagaimana diizinkan Allah,” katanya.

Dr Sanusi turut menekankan kepentingan memperkukuh semua komponen dalam PAS supaya tidak berpecah belah, selain memastikan setiap usaha dilakukan dengan keikhlasan semata-mata kerana Allah.

“Saya harap sebagai orang lama, kita semua terus istiqamah mempertahankan kemenangan kerajaan dan kekuatan parti PAS itu sendiri,” katanya.

Tambahnya, Kelantan kuat, perjuangan parti di negeri-negeri lain juga akan kuat dan jika sebaliknya berlaku, negeri lain juga akan lumpuh. – HARAKAHDAILY 6/11/2025

- Advertisement -