
BALING: Kerajaan Negeri Kedah komited menjayakan matlamat ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Kedah 2035 menerusi enam teras strategik utama sebagai panduan hala tuju pembangunan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelan tersebut menekankan keperluan membina bandar yang harmoni, lestari dan berdaya huni dengan memberi tumpuan kepada aspek keseimbangan pembangunan fizikal dan sosial.
“Pembangunan fizikal, membina bandar, pelabuhan, bangunan-bangunan tidaklah begitu sukar kerana ia akan berlaku dengan sendiri apabila sesuatu tempat itu menjadi tumpuan aktiviti manusia.
“Apa yang susahnya ialah untuk memastikan keseimbangan atau mempertahankan nilai-nilai baik yang selalunya akan mengubah gaya hidup manusia setelah pembangunan itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2025 Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Masjid Sultanah Bahiyah, di sini kelmarin.
Menurut Sanusi, profesion perancang bandar memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak merosakkan nilai kehidupan manusia serta kesejahteraan generasi akan datang.
“Para perancang bandar bukan sekadar melakar pelan di atas kertas, tetapi mencorak masa depan masyarakat dari aspek guna tanah, kemudahan awam, sistem perhubungan, hingga kepada kesejahteraan sosial dan alam sekitar,” ujarnya.
Sanusi turut menegaskan bahawa aspek-aspek seperti perumahan, ekonomi (perniagaan dan pertanian), institusi keagamaan seperti masjid, serta pembinaan masyarakat bersatu padu perlu diutamakan dalam sebarang perancangan pembangunan negeri.
Jelasnya lagi, dalam dunia semakin dinamik, negeri Kedah turut berdepan dengan pelbagai cabaran pembangunan bandar yang semakin kompleks seperti pertumbuhan pesat kawasan bandar, perubahan guna tanah, kesesakan lalu lintas, perubahan iklim serta keperluan mengekalkan warisan sejarah dan identiti tempatan.
Bagi menangani isu tersebut, kerajaan negeri melalui Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035 serta Rancangan Tempatan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara terancang, bersepadu dan mampan.
“Melalui penyediaan Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035 dan Rancangan Tempatan di setiap pihak berkuasa tempatan, perancang bandar memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara terancang, bersepadu dan mampan,” ujar beliau.
Pelaksanaan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dijangka menjadi pemacu utama ke arah pembentukan bandar harmoni dan masyarakat sejahtera, seiring visi negeri untuk memastikan pembangunan yang tidak hanya menguntungkan ekonomi tetapi turut mengekalkan keseimbangan sosial, budaya dan alam sekitar.
“PLANMalaysia bukan sahaja merancang pembangunan bandar dan desa, tetapi turut menjadi perancang kepada masa depan negara. Perancangan yang bijaksana hari ini akan menentukan kualiti kehidupan generasi akan datang.
“Terima kasih kepada seluruh warga PLANMalaysia yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam merangka dasar pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi negara.
“Selamat Hari Perancangan Bandar Sedunia. Semoga usaha kita dalam melahirkan bandar yang lebih teratur, selamat dan mampan terus diberkati dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2025




















