
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan rakyat dibela tanpa mengira kaum dan agama, sejajar dengan semangat perpaduan serta prinsip keadilan sosial yang menjadi asas pentadbiran negeri ini.
Beliau berkata demikian selepas berpeluang menyantuni komuniti India yang hadir ke Kompleks Seri Putra, Sabtu lalu bagi menyampaikan pandangan, keluhan serta saranan secara langsung kepada beliau.
“Saya sempat santuni kaum India yang hadir ke Kompleks Seri Putra bagi mendengar sendiri keluhan, pandangan dan saranan dari mereka. Mereka tidak ramai tapi mereka ada sebagai rakyat Perlis dan cakap loghat Perlis kadang lebih fasih,” katanya.
Menurut beliau, sempena sambutan Deepavali baru-baru ini, kerajaan negeri telah menjemput masyarakat India ke kediaman rasmi Menteri Besar bagi menerima sumbangan perayaan.
“Ramai dalam kalangan kaum India dan bukan Melayu tidak tahu bahawa kerajaan negeri turut memberi bantuan Skim Kafalah kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira kaum,” jelas beliau.
Dalam pertemuan itu, Mohd Shukri turut memaklumkan mengenai kewujudan Tabung Pendidikan Kerajaan Negeri di bawah Jabatan Pendidikan Negeri yang turut terbuka kepada anak-anak kaum bukan Melayu.
“Ramai masih tidak tahu dan tidak diuar-uarkan sebelum ini. Kawan-kawan bukan Melayu yang layak memohon, ambillah peluang ini bagi memudahkan anak-anak anda sambung mengaji,” ujarnya.
Beliau turut memuji semangat masyarakat India yang hadir, kebanyakannya terdiri daripada pesara kerajaan dan kini sedang berusaha menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh jaringan kebajikan komuniti mereka.
“Alhamdulillah, yang hadir ni geng pesara-pesara kerajaan. Depa dalam proses nak tubuhkan NGO. Moga dimudahkan urusan kawan-kawan kaum India ini,” katanya.
Bagaimanapun ujar beliau, antara isu yang dibangkitkan dalam sesi tersebut ialah harapan agar lebih ramai anak muda kaum India diberi peluang berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri.
“Ada keluhan dari seorang bekas guru yang hadir supaya anak-anak dari kaum India diberi peluang untuk masuk berkhidmat di Perlis,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Mohd Shukri memberi jaminan bahawa segala pandangan dan cadangan yang diterima daripada masyarakat akan diambil perhatian dan diteliti sebaiknya oleh kerajaan negeri.
“Insya-Allah, saya ambil semua saranan ini dan akan bantu semampunya semua saranan dan pandangan kawan-kawan kita khususnya rakyat di Perlis,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 4/11/2025





















