
KUALA TERENGGANU: Pengamal media disifatkan sebagai wira tidak didendang yang sentiasa berkorban masa, tenaga dan keselamatan demi memastikan rakyat mendapat maklumat yang benar dan tepat.
Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, pengamal media memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, selain menjadi penyampai maklumat beretika serta berani dalam mencari kebenaran.
“Siapalah kita tanpa media. Siang dan malam, anda mengabdikan diri dalam profesion yang mulia ini, mengorbankan masa bersama keluarga, berkejar dari satu tugasan ke tugasan lain, berdiri di bawah terik mentari di tapak perhimpunan.
“Mereka meredah hujan di lokasi bencana dan menghadiri setiap sidang media tanpa mengira waktu semuanya demi memastikan kita menerima maklumat yang tepat, terperinci dan terkini. ‘Salute’ kepada anda semua.
“Semangat anda tiada batasnya. Anda merentas daerah, negeri, malah ke seluruh dunia, demi mencari kebenaran supaya kami yang lain dapat memahami dunia dengan lebih baik.
“Anda adalah jambatan antara rakyat dan kebenaran. Atas sebab itu, anda layak menerima penghormatan dan penghargaan setinggi-tingginya,” kata Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) kepada Menteri Besar Terengganu itu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua wartawan yang menurutnya telah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab walaupun berdepan cabaran dan tekanan pelbagai pihak.
“Bagi saya secara peribadi, saya sentiasa menghargai dan mengalu-alukan kehadiran para pengamal media, sama ada dalam urusan rasmi mahupun tidak rasmi.
“Saya sentiasa menantikan peluang untuk berinteraksi dengan rakan-rakan media termasuk mereka yang mengajukan soalan-soalan sukar dan mencabar kerana di situlah bermulanya perbualan yang jujur.
“Saya berterima kasih kerana diberi ruang dan platform untuk menyampaikan sisi cerita saya. Itulah makna sebenar kewartawanan yang asli,” katanya.
Beliau dalam pada itu menzahirkan kebimbangan terhadap kebebasan media yang dilihat semakin terhad apabila wujud cubaan untuk mengawal atau menapis laporan tertentu.
“Amat menyedihkan apabila melihat sejauh mana kita telah menyimpang daripada cita-cita kebebasan media yang suatu ketika dahulu kita perjuangkan. Dahulu, yang sering diungkapkan ialah “Jangan masukkan bahagian ini dalam berita.”
“Kini, ia telah berubah menjadi “Jangan siarkan berita ini langsung.” Apabila media dikawal oleh wang dan kuasa, tujuannya menjadi lemah. Suara yang sepatutnya menegakkan kebenaran akhirnya dibungkam oleh kuasa itu sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengamal media agar terus berpegang teguh kepada nilai ketelusan, keberanian dan integriti dalam melaksanakan tugas.
“Kepada semua pengamal media, saya berharap anda terus kekal kuat, telus dan berani dalam menyampaikan kebenaran. Jangan padamkan semangat juang anda. Negara amat memerlukan anda kini lebih daripada sebelumnya.
“Terima kasih, dari lubuk hati saya yang paling dalam, atas komitmen, pengorbanan dan keberanian anda yang tidak pernah luntur,” katanya yang juga pemimpin Dewan Himpunan Pendukung PAS.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menjawab pertanyaan seorang wartawan dengan nada tegas berhubung penggunaan bahasa Inggeris pada nama sebuah acara rasmi.
Tindakan tersebut mengundang reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang menyifatkannya tidak wajar serta tidak menghormati peranan media dalam masyarakat. – *HARAKAHDAILY 4/10/2025*











