
SAYA ingin membangkitkan beberapa persoalan berkaitan Perjanjian Timbal Balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia (Agreement on Reciprocal Trade – ART) yang ditandatangani pada Oktober 2025 dan kesannya terhadap sektor pertanian negara.
Jika kita melihat kepada respons yang dibuat oleh para penganalisa yang pro kepada Kerajaan Madani, kebanyakan mereka lebih membincangkan kepada kononnya ‘kejayaan’ pengurangan tarif yang diberikan oleh AS kepada eksport kita ke negara itu.
Namun mereka tidak berani membincangkan mengenai kesan timbal balas pengurangan sekatan yang dikenakan terhadap import produk dari AS dan kesannya terhadap industri tempatan negara kita.
Dalam perjanjian itu pada Artikel 2.3, Malaysia bersetuju untuk memberikan akses pasaran yang signifikan kepada produk AS (termasuk produk pertanian: tenusu, ayam dan beras) — sebagai imbalan untuk pengurangan tarif dan halangan bukan-tarif terhadap eksport AS ke Malaysia.
Malaysia dalam perjanjian itu juga harus menghadkan atau tidak mengenakan kuota atau pembatasan import yang diskriminatif terhadap produk AS yang berasal dari AS, namun masih boleh mengekalkan kuota tarif untuk beberapa produk pertanian sensitif seperti telur atau susu.
Jika produk AS seperti tenusu, ayam atau beras mendapat kemudahan masuk ke pasaran Malaysia (dengan tarif rendah atau halangan bukan-tarif dikurangkan) maka pengeluar tempatan akan berhadapan persaingan tambahan.
Sebagai contoh, pengusaha ayam dan telur Malaysia mungkin berhadapan dengan produk import dari AS yang harganya lebih murah atau kualitinya lebih menarik.
Harus di ingat 65 peratus – 75 peratus kos pengeluaran ayam dan telur adalah kos makanan yang mana kita maklum 100 peratus bahan makanan utama ternakan iaitu jagung bijirin dan soya diimport dari luar.
Kedaulatan industri makanan atau industri pertanian tempatan bakal terjejas apabila import pertanian dibuka lebih lebar, kebergantungan Malaysia kepada pengeluaran luar mungkin meningkat dan boleh menjadikan keterjaminan makanan (food security) Malaysia terjejas teruk jika berlaku gangguan bekalan antarabangsa atau harga dunia naik.
Malah dalam perjanjian itu juga menyatakan bahawa Malaysia tidak boleh mengenakan cukai SST terhadap produk hasil pertanian daripada A.S yang jelas akan mewujudkan satu diskriminasi kepada pengimport lain dan lebih bahaya lagi bakal mengancam hasil pertanian tempatan dari segi persaingan harga.
Itu belum lagi dengan ancaman terhadap keistimewaan yang dinikmati oleh peniaga Bumiputera dan GLC, akibat dari perjanjian ini, semuanya bakal tergugat jika dilihat kepada butir-butir yang ada dalam perjanjian ini.
Dalam perjanjian perdagangan ini sebanyak 46 kali disebut ‘Malaysia shall…’ (Malaysia wajib untuk…) sementara hanya tiga kali sahaja menyebutkan ‘U.S shall..’ (U.S wajib untuk…) menggambarkan perjanjian ini sebagai berat sebelah dan merugikan Malaysia.
Ini bukan sentimen atau kenyataan untuk menakut-nakutkan, tetapi ia adalah sesuatu fakta yang tersurat di dalam perjanjian itu seperti yang didedahkan di portal Office Of The United States Trade Representative – Fact Sheet.
Rakyat harus bersatu padu mendesak agar Kerajaan segera membatalkan perjanjian ini yang secara keseluruhan jelas merugikan dan mengancam kedaulatan negara.
BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 4/11/2025











