Kemudahan lif hasil kelulusan Kerajaan PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemudahan lif di Pasar Siti Fatimah, Berek 12 merupakan hasil peruntukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

- Advertisement -

Pasar tersebut kini muncul sebagai pasar pertama di Kelantan yang mempunyai kemudahan lif bernilai RM200,000 biarpun hanya mempunyai tiga tingkat.

Pasar yang dahulunya dikenali sebagai Pasar Berek 12 itu kini dirasmikan sebagai Pasar Siti Fatimah oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemudahan tersebut memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat khususnya peniaga dan pengunjung yang berurusan di pasar berkenaan.

“Pasar Siti Fatimah ini mempunyai tiga tingkat dan lif yang disediakan hasil peruntukan kerajaan PN sebelum ini. Kita mohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan ketika itu.

“Alhamdulillah ia amat membantu terutama kepada warga emas serta golongan uzur,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pasar Siti Fatimah.

Menurut Takiyuddin, lif berkenaan menjadikan pasar itu satu-satunya pasar awam di Kelantan yang dilengkapi kemudahan tersebut.

“Ketika itu kita sediakan RM200,000 untuk membina lif ini dan mungkin kosnya agak lebih sedikit. Struktur asasnya telah disediakan lebih awal dan kini manfaatnya dirasai oleh semua pihak,” ujarnya.

Tambah beliau, pasar tiga tingkat itu menempatkan bahagian basah di tingkat bawah, bahagian kering di tingkat tengah dan dewan serbaguna di tingkat atas yang kini turut disewakan kepada orang ramai termasuk bagi pelbagai program kerajaan negeri.

“Peniaga di Pasar Siti Fatimah telah beroperasi di sini sejak lebih 40 tahun lalu. Mereka menunjukkan urus niaga yang baik dan menjadi contoh kepada komuniti peniaga lain,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kewujudan pasar tersebut turut merancakkan pembangunan ekonomi di kawasan Jalan Abdul Kader Adabi yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Hospital.

“Kawasan ini semakin pesat membangun dengan pelbagai kedai makanan terkenal, pejabat dan sekolah.

“Antara yang menjadi sebutan rakyat Kelantan ialah nasi air Mak Su Nab, nasi kukus Zakini serta pelbagai juadah tradisional seperti tepung bokor ubi kayu dan lompat tikam yang boleh didapati di sini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang turut membantu mengurus pasar tersebut.

Katanya, sehingga kini MPKB-BRI berjaya mengekalkan identiti bandar raya Islam sejak penubuhannya 20 tahun lalu.

“Falsafah Bandar Raya Islam yang diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1990 diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif pembangunan termasuk pengurusan pasar seperti ini,” ujarnya.

Takiyuddin turut menambah, pasar tersebut mempunyai kemudahan surau serta dewan khas yang digunakan untuk tazkirah dan aktiviti masyarakat setempat, menjadikannya model pasar berkonsep Islamik yang patut dicontohi. – HARAKAHDAILY 3/11/2025

- Advertisement -