
DEWAN Ulamak PAS Pusat menzahirkan kebimbangan mendalam dan kekesalan besar terhadap laporan bahawa Kerajaan Malaysia bersetuju menyerahkan urusan pengiktirafan pensijilan halal kepada badan halal Amerika Syarikat (AS) melalui Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025.
Perjanjian tersebut, khususnya di bawah Artikel 2.9 Lampiran III, memperuntukkan bahawa Malaysia mesti ‘membenarkan mana-mana badan pensijilan halal AS yang ditetapkan oleh JAKIM sebagai memenuhi keperluan halal Malaysia, untuk mengesahkan produk halal dari AS tanpa keperluan tambahan’.
Walaupun disebut bahawa penetapan badan halal AS tertakluk kepada kelulusan JAKIM, frasa ‘tanpa keperluan tambahan’ menimbulkan persoalan besar terhadap kuasa penguatkuasaan, audit dan semakan syariah oleh pihak berautoriti agama di Malaysia, termasuk Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Sistem Halal Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selama ini diiktiraf sebagai antara yang terbaik dan paling komprehensif di dunia.
Malaysia merupakan negara pertama di dunia menggubal Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 [Akta 739] serta memperkenalkan Standard Halal Kebangsaan (MS 1500:2019) yang menjadi rujukan global. Kini terdapat 84 badan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM daripada lebih 46 negara, di bawah Malaysia Halal Management System (MHMS) yang meliputi audit, penyembelihan, logistik dan pemantauan rantaian bekalan. Malaysia juga mengetuai Majlis Halal Dunia (World Halal Council, WHC) dan menjadi rujukan lebih 40 negara Islam.
Menyerahkan pengiktirafan kepada badan halal di AS adalah langkah ke belakang yang boleh menjejaskan keutuhan sistem halal negara dan membuka ruang campur tangan luar terhadap hal ehwal agama.
Di Amerika Syarikat, tiada satu badan pusat yang menyelaras halal. Terdapat puluhan organisasi bebas dengan piawaian berbeza-beza, bergantung kepada mazhab, fahaman atau kepentingan korporat masing-masing. Beberapa badan halal di AS pernah terlibat dengan skandal penyalahgunaan label halal, antaranya kes ‘Midamar Corporation’ di Iowa (2011), yang menipu label halal pada daging eksport yang tidak disembelih mengikut syarak.
Kelemahan sistem pemantauan seperti ini menimbulkan risiko kemasukan produk yang tidak sah halal ke Malaysia jika kawalan tidak diperkukuh.
Pensijilan halal bukan isu teknikal perdagangan semata-mata, tetapi melibatkan pematuhan syariah dan pengukuhan syiar Islam.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada yang halal lagi baik di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.” (Surah al-Baqarah, 2:168)
Dan sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا
“Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik.” (Riwayat Muslim)
Maka, sebarang kelonggaran dalam kawalan halal boleh membawa kepada pencemaran akidah dan hilangnya keyakinan umat Islam terhadap sistem halal negara.
Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa perjanjian ini membawa beberapa risiko serius terhadap kedaulatan agama dan integriti sistem halal negara dari beberapa sudut:
(a) Penghakisan kuasa JAKIM dan MAIN apabila frasa ‘tanpa keperluan tambahan’ dalam perjanjian yang ditandatangani boleh mengikat tangan pihak berkuasa Islam daripada membuat semakan tambahan terhadap pensijilan luar negara.
(b) Kekeliruan piawaian halal global di mana badan halal AS tidak seragam; ada yang longgar dan tidak menepati hukum syarak Malaysia.
(c) Campur tangan politik dan ekonomi luar melalui tekanan perdagangan boleh memaksa pelonggaran standard halal demi keuntungan pasaran.
(d) Risiko kehilangan status Malaysia sebagai hab halal dunia walhal Malaysia kini menjadi pusat halal global dan jika piawaian dilonggarkan, reputasi antarabangsa berisiko akan terjejas.
Bagi mempertahankan sistem halal dan kepentingan umat Islam, Dewan Ulamak PAS Pusat mencadangkan beberapa cadangan supaya kerajaan mengambil langkah berikut:
– Merundingkan semula perjanjian perdagangan Malaysia–AS (ART) bagi memastikan kedaulatan syariah dan sistem halal negara tidak dikompromi.
– Menegaskan dasar rasmi kerajaan bahawa hanya pensijilan halal yang dikeluarkan oleh JAKIM dan badan luar negara yang diiktiraf JAKIM diterima bagi produk import.
– Menubuhkan Jawatankuasa Fatwa dan Pemantauan Halal Antarabangsa di bawah Majlis Fatwa Kebangsaan bagi menyelia standard halal global dari perspektif syariah.
– Memperkukuh diplomasi halal Malaysia dengan negara Islam melalui Organisation of Islamic Countries (OIC) dan World Halal Council (WHC), bagi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju sistem halal dunia.
– Menggubal Pelan Tindakan Pertahanan Halal Nasional (NHP) untuk memperkukuh piawaian, audit, penguatkuasaan dan komunikasi halal Malaysia di peringkat antarabangsa.
– Meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan sistem halal Malaysia yang berasaskan syariah, bukan semata-mata piawaian komersial.
Pensijilan halal bukan sekadar urusan perdagangan, tetapi lambang maruah Islam dan kedaulatan umat.
Firman Allah SWT:
وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا
“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisā’, 4:141)
Maka sebarang penyerahan kuasa dalam urusan halal kepada pihak luar tanpa kawalan syariah yang ketat adalah bertentangan dengan prinsip Islam dan siyasah syar‘iyyah.
Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh umat Islam untuk mempertahankan integriti sistem halal Malaysia sebagai simbol izzah (kemuliaan) dan kedaulatan agama negara ini.
DATO’ USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 4/11/2025











