Lagi Sekolah Tamil terima sumbangan Kerajaan Kedah

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Kerajaan Negeri terus menunjukkan komitmen terhadap kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum apabila menganjurkan Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Kedah Tahun 2025.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam kalangan rakyat Kedah sebagai kekuatan yang menyatupadukan negeri ini.

“Kerajaan negeri menghargai peranan semua kaum dalam membangunkan negeri ini. Kita meraikan Deepavali bukan sekadar perayaan, tetapi lambang perpaduan dan persefahaman yang menjadi tunjang kepada kestabilan negeri Kedah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berucap demikian ketika merasmikan majlis tersebut di Dewan SP Swarnabumi, di sini kelmarin.

Pada majlis itu, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM100,000 kepada 18 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Kedah.

Sumbangan itu bagi tujuan aktiviti murid serta penyelenggaraan kecil sekolah sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pendidikan anak-anak kaum India.

Selain itu, bantuan kebajikan turut diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah dan beberapa rumah kebajikan, mencerminkan sikap prihatin kerajaan terhadap golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Majlis yang berlangsung penuh muhibah itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Masyarakat Cina, India dan Siam, Wong Chia Zhen dan ADUN Bukit Selambau, Ustaz Azizan Hamzah serta ADUN Derga, Muhammad Amri Wahab.

Turut hadir, pimpinan masyarakat kaum India, wakil-wakil Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, pertubuhan-pertubuhan masyarakat serta komuniti tempatan. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -