
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis kini dalam proses menyelesaikan isu keselamatan di kawasan ‘Free Flow’ berhampiran pintu masuk sempadan dengan menambah pembinaan pagar sehingga ke kawasan Arkid Niaga, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
“Free flow ni dalam proses, insya-Allah baru ni pun kita ada bincang dengan Menteri Dalam Negeri, masih dalam proses lagi. Kita nak selesaikan di peringkat negeri ini berkaitan pagar di kawasan itu.
“Kita harap Pusat akan membantu untuk membina pagar tu dan diserahkan kepada kerajaan negeri,” harap beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Menurut Mohd Shukri, selepas urusan pembinaan pagar diserahkan kepada kerajaan negeri, langkah seterusnya akan dibincangkan bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Anugerah IDEA Bestari 2025 yang berlangsung di Dewan 2020, Persiaran Wawasan baru-baru ini.
“Kita nak tambah pagar sampai ke Arkid Niaga. Kawasan ‘Free Flow’ tu daripada ICQS sampai ke Arkid Niaga. Tak terbuka macam sekarang, untuk langkah-langkah keselamatan. Dalam satu atau satu setengah kilometer lebih kurang kawasan berpagar itu,” jelasnya.
Tambah beliau, ketetapan untuk mewujudkan kawasan berpagar itu dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengelakkan kebolosan di sempadan.
“Itu adalah ketetapan dari kementerian untuk elakkan kebolosan, jadi kita cuba rundinglah supaya kos itu ditanggung oleh Kerajaan Pusat,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Mohd Shukri memaklumkan bahawa cadangan caj sempadan bagi pelawat yang masuk ke Malaysia melalui pintu sempadan Perlis telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat.
Namun menurut beliau, perbincangan lanjut akan dibuat berhubung kos dan kaedah pengurusan pelaksanaannya.
“Untuk cas sempadan, Kerajaan Pusat dah lulus, cuma kita nak kena bincang balik kos dan kaedah pengurusan itu. Kos yang dikenakan adalah bagi mereka yang masuk ke Malaysia melalui pintu sempadan kita, termasuk warganegara kita sendiri,” katanya.
Langkah ini menurut beliau adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh keselamatan sempadan sambil memastikan sistem kawalan dan pengurusan kemasukan lebih teratur dan berkesan. – HARAKAHDAILY 4/11/2025











