
KUALA LUMPUR: Satu-satunya ‘exit clause’ Perjanjian Timbal Balas Amerika Syarikat – Malaysia yang ada sekarang ialah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kabinetnya perlu bertanggungjawab serta meletakkan jawatan.
Resolusi bersama turut dipersetujui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan alasan ‘exit clause’ digunakan Anwar sebagai satu penipuan yang tidak akan mampu mengeluarkan negara daripada perangkap perjanjian berkenaan.
Resolusi itu juga menegaskan kenyataan Anwar yang mendakwa Malaysia masih bebas menentukan hala tuju sendiri tidak meyakinkan dan bercanggah dengan terma dalam perjanjian berkenaan.
“Setelah meneliti perjanjian tersebut, jelas ia melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, hak dan kedudukan Raja-raja Melayu, hak-hak Melayu dan Bumiputera serta mengenepikan hak Kerajaan Negeri (Senarai Negeri),” ujarnya dalam kenyataan.
Resolusi bersama itu juga dipersetujui oleh bekas Menteri Luar Negeri, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar serta bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim.
Turut sama, bekas Menteri Perpaduan, Waytha Moorthy Ponnusamy, bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir juga bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Juga bekas Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Amiruddin Hamzah, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali, dan Pakar Ekonomi, Dr Muhammad Khalid.
Resolusi bersama itu juga dipersetujui pengamal undang-undang, Zainur Zakaria dan Rafique Rashid Ali juga wakil-wakil parti, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh individu (NGI).
Korban kemerdekaan
Menurut resolusi itu lagi, mereka menegaskan bahawa pada tahun 1957 ketika berjuang untuk kemerdekaan, rakyat Malaysia berusaha menentukan nasib sendiri.
Ia seterusnya pada tahun-tahun selepas itu rakyat Malaysia bekerja keras menghapus segala bentuk pengaruh asing ke atas negara, khususnya dalam perdagangan dan ekonomi.
Resolusi itu menyatakan Perjanjian Timbal Balas Amerika Syarikat dan Malaysia yang diluluskan oleh Anwar dan Kabinet Madani amat berat sebelah serta memihak kepada kuasa luar hingga mengorbankan kemerdekaan negara.
“Perjanjian ini mengikat Malaysia kepada rentak tarian Amerika Syarikat dan menjadikan negara kita negeri naungan atau lindungan (a vassal state)_” menurut kenyataan itu.
Resolusi berkenaan turut menyatakan bahawa perjanjian tersebut meletakkan Malaysia hilang kebebasan untuk berdagang secara terbuka dengan negara lain serta perlu tunduk kepada syarat yang boleh ditentukan oleh Amerika Syarikat.
Mereka berkata, rakyat Malaysia yang selama ini menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan pelbagai negara akan terjejas kerana perjanjian baharu itu menjejaskan hubungan dagang yang dibina sekian lama.
“Perjanjian ini juga membenarkan dasar campur tangan Amerika Syarikat dalam industri pemakanan, pembuatan, pertanian, pemerdagangan, telekomunikasi, ketenteraan, nuklear, nadir bumi, perlombongan dan sebagainya.
“Hampir keseluruhan ekonomi negara dikorbankan demi mendapat pujian daripada Presiden Amerika Syarikat,” tempelak kenyataan itu.
Menurut resolusi itu lagi, hak negara untuk menentukan halal haram barangan yang dibawa masuk dari negara bukan Islam, khususnya Amerika Syarikat, juga tidak dapat lagi ditentukan oleh Malaysia.
“Penjelasan Kerajaan amat diragui kerana komentar badan-badan terkait ekonomi dunia serta media asing melabel perjanjian ini sebagai penjualan hak kebebasan memilih Malaysia,” bidasnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/11/2025











