
KOTA BHARU: Mana-mana gabungan parti yang berhasrat membentuk kerajaan di Sabah perlu memenangi sekurang-kurangnya 37 kerusi bagi memperoleh majoriti mudah.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mengambil kira jumlah itu, PERIKATAN NASIONAL (PN) dijangka bertanding lebih daripada jumlah majoriti mudah tersebut.
Menurutnya, PN akan mengumumkan calon bakal bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 11 November ini, melibatkan semua calon daripada parti komponen PN termasuk PAS, BERSATU dan parti gabungan lain.
“PN tidak berdepan sebarang masalah dalam soal pembahagian kerusi antara PAS dan BERSATU kerana perkara itu telah selesai dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan PN akan bertanding sehingga 40 kerusi berbanding 36 kerusi yang diumumkan sebelum ini.
Menurutnya, tiga parti komponen PN iaitu PAS, BERSATU dan GERAKAN kini sedang memuktamadkan pembahagian kerusi serta senarai calon masing-masing.
“Kita masih lagi dalam proses memuktamadkan kerusi sebelum pengisytiharan calon dan pelancaran jentera seluruh Sabah yang akan dibuat pada 11 November,” katanya di Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 29 November sebagai tarikh hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari di mana terdahulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 diumumkan telah dibubarkan pada 6 Oktober lalu.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pengumuman calon dibuat empat hari sebelum hari penamaan calon bagi memberi ruang kepada jentera parti membuat persiapan rapi.
Menjawab soalan, beliau berkata pembahagian kerusi untuk komponen PN berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang masalah.
Mengulas isu pemecatan beberapa ahli BERSATU baru-baru ini, beliau menyifatkannya sebagai urusan dalaman parti tersebut.
“Apapun keadaan, mana-mana organisasi yang menghadapi krisis dalaman sedikit sebanyak akan menjejaskan kestabilan organisasi atau parti politik.
“Sebab itu kita menyeru rakan-rakan dalam PN supaya segera menstabilkan keadaan kerana dalam PN bukan hanya ada BERSATU, tetapi turut dianggotai parti lain,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 4/11/2025











