
TANPA ada ribut dan hujan, tiba-tiba Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu kenyataan terbaharunya memberi amaran untuk menyerang Nigeria dengan alasan kezaliman yang berlaku ke atas orang Kristian di sana. [1]
Kenyataan di atas boleh dibaca dari dua sudut, pertama bertujuan menarik balik sokongan masyarakat Kristian Amerika Syarikat yang menjadi tulang belakang kepada pentadbiran Donald Trump. Kedua, alasan untuk menguasai sumber tenaga khususnya minyak dan gas serta REE yang kaya di benua Afrika.
Umum mengetahui pentadbiran Donald Trump dikuasai oleh gerakan Kristian Zionis yang berdendam dengan Dunia Islam serta mendukung secara total negara haram Israel.
Namun, perang Taufan al-Aqsa di Palestin telah merubah wajah masyarakat Kristian Amerika Syarikat dengan begitu ketara.
Jalur pemikirin baharu yang mempertikai polisi dukungan Amerika Syarikat kepada Zionis Israel makin membesar.
Tokoh pempengaruh seperti Tucker Carlson yang dahulunya penyokong tegar Trump mula mengecam serta mempersoal secara terbuka pelbagai isu khususnya ‘deep state’ yang dikuasai oleh gerakan Zionis dalam menentukan dasar luar dan pertahanan Amerika Syarikat. [2]
Kenyataan Donald Trump di atas adalah wayang yang mahu menutup realiti sebenar politik dalaman Amerika Syarikat ketika ini.
Jika benar tujuannya mahu membela orang Kristian, kenapa Donald Trump tidak mengecam Zionis Israel apabila tentera negara haram tersebut mengebom sehingga hancur gereja Kristian di Gaza? [3]
Trump juga tidak mengecam Zionis Israel ketika pelbagai jenayah berlaku ke atas masyarakat Kristian Palestin seperti pembunuhan wartawan Al-Jazeera beragama Kristian warga Palestin, Sheriin Abu Akleh.
Apa yang berlaku di Nigeria hanyalah alasan yang diciptakan untuk menutup pekong serta membuka jalan gerakan imperialisme baharu Barat yang sedang berjalan.
Amerika Syarikat perlu mencari jalan untuk menguasai benua Afrika yang mula beralih arah dari pengaruh Barat kepada Rusia dan China seperti Chad dan Burkina Faso.
China dan Rusia sudah berada satu langkah ke hadapan khususnya dalam perebutan REE yang sangat kaya di benua Afrika.
Konflik berdarah yang berlaku di benua Afrika perlu dilihat dengan adil dan saksama bukan tuduhan membabi buta ke atas Dunia Islam.
Pembunuhan yang berlaku ke atas penganut Kristian di Nigeria hanyalah kes terpencil yang melibatkan kumpulan ekstremis yang sebahagiannya ditaja sendiri oleh pihak berkepentingan.
Hakikatnya terdapat faktor-faktor lain yang lebih besar seperti perebutan tanah, sumber air serta perbalahan suku, kabilah dan puak yang sudah berlarutan sejak ratusan tahun.
Dunia Islam mendambakan kepimpinan yang ikhlas untuk memimpin kembali dunia yang penuh dengan kezaliman.
Insya-Allah kebenaran akan menang dan kebatilan akan tersungkur dengan izin Allah.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Burok, Terengganu Darul Iman
13 Jamadil Awwal 1447 bersamaan 4 November 2025 – HARAKAHDAILY 4/11/2025
Rujukan:
[1] https://www.bbc.com/news/articles/cev18jy21w7o
[2]
https://www.theguardian.com/us-news/2025/oct/31/conservative-reaction-tucker-carlson-nick-fuentes-interview
[3]
https://www.vaticannews.va/en/church/news/2025-07/the-parish-priest-father-gabriel-romanelli.html












