
KUALA LUMPUR: ”Jika takut diasak, adalah lebih baik untuk tidak mengadakan sidang akhbar,” demikian bidas Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin yang menyifatkan perselisihan faham antara pembesar politik dan wartawan adalah tidak produktif.
“Kalau takut diasak wartawan, lebih baik jangan buat sidang akhbar atau bagi temuramah, terutama sekali dengan wartawan televisyen. Apa yang berlaku dalam sidang akhbar Menteri Nga Kor Ming, tidak akan berlaku kalau beliau bersikap profesional
“(Juga) tidak buat ancaman hendak adu wartawan Utusan Malaysia kepada pengarangnya,” katanya terhadap sikap diserlahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu kepada wartawan baru-baru ini.
Beliau turut menyindir sikap kerajaan hari ini yang dilihat masih mengamalkan budaya konfrontasi walaupun sudah hampir tiga tahun membentuk kerajaan.
“Kerajaan Madani ini pun bukan baru lagi. Sudah dekat tiga tahun. Takkan hendak terus bersikap konfrontasi macam pembangkang lagi?” soalnya.
Mengimbau pengalamannya sendiri, Abdul Kadir menceritakan beliau juga pernah bertegang leher dengan menteri dan pegawai kanan, malah pernah diugut untuk dibuang kerja oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu.
Namun, beliau memuji kepimpinan media massa pada zaman itu yang disifatkannya sebagai ‘sangat profesional dan tegas’, berbeza dengan situasi hari ini.
“Waktu saya masih pemberita pelatih (cadet reporter) di BERNAMA pada tahun 1969, saya diancam akan dibuang kerja, Syed Zainal (Pengurus Besar BERNAMA) menelefon saya dan bertanya, mengapa Setiausaha Politik Tunku marah sangat?
“Saya kata, sebab saya tidak ikut arahan beliau, saya lapor apa yang ada nilai berita (news value). Beliau tidak suka berita itu. Syed Zainal ketawa,” ceritanya.
Dalam pada itu, Abdul Kadir turut menggesa wartawan Utusan yang terlibat dalam insiden dengan Nga Kor Ming itu supaya membuat aduan rasmi kepada Majlis Media Malaysia (MMM) yang baru ditubuhkan.
Beliau berkata, aduan itu perlu dibuat bagi ‘menguji kebergunaan’ majlis tersebut di mana MMM bakal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada 7 November ini. – HARAKAHDAILY 4/11/2025











