
KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menekankan kepentingan penyelarasan data ibu tunggal serta keperluan memperkukuh program pembangunan insan dan kerohanian untuk golongan orang kelainan upaya (OKU).
Beliau menyuarakan perkara itu ketika mencelah sesi penggulungan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi Belanjawan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, di sini semalam.
Menurutnya, usaha kementerian dalam membantu ibu tunggal wajar dipuji, namun perlu disertai dengan sistem data lebih kemas dan terkini supaya bantuan serta program kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Saya ingin tahu sejauh mana pengumpulan data ibu-ibu tunggal ini dibuat, sebab kita lihat data ini sentiasa berubah dan bertambah. Setakat ini, berapa jumlah ibu tunggal terkini mengikut negeri?
“Selain itu, sejauh mana juga kerjasama dibuat dengan kerajaan negeri, sebab ada Exco Wanita yang sentiasa mengemas kini data-data ini seperti di Kelantan,” ujar beliau.
Beliau menambah, data yang diselaraskan antara kementerian dan kerajaan negeri akan memastikan manfaat program kebajikan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan ibu tunggal di seluruh negara.
Dalam pada itu, Dato’ Siti Zailah turut menggesa agar kerajaan memberi perhatian terhadap aspek pembangunan kerohanian bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya sangat setuju supaya bajet untuk kementerian ini ditambah kerana kementerian ini menjaga manusia daripada pelbagai latar.
“Tetapi saya ingin tekankan bahawa di antara kekurangan yang perlu diberi perhatian ialah peruntukan bagi bimbingan ibadah dan kerohanian kepada OKU,” katanya.
Beliau berkata, ramai dalam kalangan OKU menyuarakan keperluan agar kerajaan memperkenalkan program khusus yang mampu membina kekuatan jiwa dan semangat mereka melalui bimbingan keagamaan.
“OKU juga perlu kepada kekuatan dalaman dan spiritual. Jadi, di samping latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi, aspek kerohanian ini perlu dijadikan agenda penting dalam melahirkan OKU yang berjaya dan berdaya tahan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 4/11/2025











