
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) digesa untuk segera menyelesaikan pelbagai isu insentif pesawah dan peladang yang tertangguh sehingga menjejaskan golongan itu.
Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) ketika mencelah ucapan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat semalam mendedahkan beberapa keluhan utama para petani.
Menurut Misbahul Munir, isu pertama adalah bayaran insentif RM600 kepada pesawah yang masih belum diterima sehingga kini.
“Pertama bayaran insentif 600 pada pesawah. Mereka duk tanya hari-hari tak dapat lagi walaupun 1 sen. Yang kedua, ini dah nak masuk musim ketiga dah ni, tak dapat lagi RM600,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan isu insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, di mana kerajaan masih ‘berhutang’ dengan petani.
“Yang kedua, insentif yang dinaikkan daripada RM100 kepada RM160 disebut dalam Bajet 2025, tapi para petani hanya dibayar RM100 sahaja. Jadi kerajaan ada berhutang dengan petani RM60, harap bayar segera sebelum mati,” katanya.
Selain itu, Misbahul Munir turut mempersoalkan kelewatan pengagihan insentif baja dan racun yang memberi kesan langsung kepada hasil tanaman.
“Yang keempat, petani tanya kelewatan insentif baja dan racun sehingga hampir dua bulan ini memberi kesan kepada kesuburan benih padi yang telah ditabur, tapi baja dua bulan baru sampai, lewat. Mengapa berlaku kelewatan?” soalnya.
Isu berkaitan Pertubuhan Peladang turut diutarakan, yang mana beliau menyatakan terdapat masalah dalaman sehingga menyebabkan ahli tidak menerima bayaran dividen.
“Masalah pertubuhan peladang yang ada bermasalah sehingga menyebabkan para peladang tidak menerima bayaran dividen hingga sekarang. Ini bila nak selesai isu ini? Rakyat menunggu sebenarnya,” tambah beliau.
Menjawab celahan itu, Mohamad Sabu mengakui soalan yang dibangkitkan oleh Misbahul Munir adalah banyak dan berjanji akan memberikan jawapan terperinci secara bertulis.
“Soalan Parit Buntar itu banyak. Saya akan jawab… Kita akan jawab secara bertulis dengan detail dan memuaskan insya-Allah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.
Walau bagaimanapun, Misbahul Munir sempat membalas sinis, “Jawab jawab tu jawablah. Tapi yang RM600 tu kena bayarlah.”
Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), turut mencelah bagi membangkitkan cabaran pengekalan kawasan sawah sedia ada.
Beliau menyuarakan kebimbangan berlakunya penukaran guna tanah sawah kepada pembangunan dan perumahan.
“Jadi pihak kementerian juga perlu melihat bersama kerajaan negeri untuk kita katakan mewartakan kawasan kekal sawah itu supaya tidak begitu mudahlah untuk ditukar penggunaan itu,” gesa beliau.
Mengulas lanjut, Mohamad mengakui negara telah kehilangan 20,000 hektar tanaman sawah sama ada akibat ditukar kepada pembangunan atau terbiar.
Beliau berkata kerajaan akan berusaha memulihkan kawasan tersebut dan memberi tumpuan kepada Sabah, Sarawak, dan negeri-negeri di selatan. – HARAKAHDAILY 4/11/2025












