NBS tebatan banjir: Syarat dilanggar jadi punca bencana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasrat Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air melaksanakan tebatan banjir berasaskan Penyelesaian Berasaskan Alam (NBS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dipersoalkan.

- Advertisement -

Perkara itu dipertikaikan oleh Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang berpendapat, kemungkinan wujud pelanggaran syarat ditetapkan pihak berkuasa dalam sebarang projek pembangunan.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu mengambil pengajaran kejadian banjir besar yang berlaku di Sri Muda Shah Alam tiga tahun lalu menyaksikan kepentingan politik mengatasi pandangan agensi kerajaan.

“Kementerian meletakkan penyelesaian berasaskan NBS, soalan saya ialah bagaimana kalau berlaku pelanggaran kepada syarat tersebut sebab bila letak syarat agensi kerajaan beri input perancangan.

“Tetapi sering kali berlaku pelanggaran terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan, menyebabkan akhirnya agensi kerajaan terpaksa menyediakan pelan mitigasi kepada perancangan tersebut,” katanya.

Berucap ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat di sini semalam, Tuan Ibrahim turut mengemukakan cadangan bagi memperkukuhkan lagi hasrat terbabit.

Bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang beliau berkata, satu akta perlu digubal bagi memastikan pihak pemaju mematuhi syarat Kebenaran Merancang (KM) selain mengikuti pendekatan NBS.

“Tetapi kalau berlaku pelanggaran kepada garis panduan, mereka (pemaju) tidak peduli pun komen daripada pihak berkuasa terbabit, bila berlaku masalah agensi kerajaan juga kena kerana gagal.

“Garis panduan telah diberikan, perlanggaran syarat berlaku tetapi kita tidak boleh ambil tindakan perudangan, jadi saya fikir perlu ada penyelesaian, apakah penyelesaian masalah ini,” kata beliau.

Sementara itu Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan menekankan pelaksanakan pendekatan NBS dalam projek pembangunan di negara ini.

Beliau berkata inisiatif tersebut membabitkan penyediaan kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk konsep berasaskan pemodelan saintifik yang akan digunakan oleh agensi kerajaan berkaitan teknikal.

Katanya, pendekatan tersebut semakin mendapat sambutan dan kesedaran bukan sahaja kalangan rakyat, bahkan pemaju terhadap kelestarian alam sekitar dalam pembangunan juga semakin meningkat saban waktu. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -