Tingkat aktiviti KRT Progresif bagi pupuk perpaduan kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) menerima hampir setiap minggu mel elektronik (e-mail) memaparkan kandungan mengenai perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia.

- Advertisement -

Beliau memuji langkah-langkah proaktif dilakukan Kementerian Perpaduan Negara bagi memupuk perpaduan menerusi pelaksanaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif dalam masyarakat multietnik.

Bagaimanapun beliau mencadangkan supaya kerajaan menambah baik pengisian entiti yang ditubuhkan pada 1975 itu, melaksanakan lebih banyak aktiviti bagi merealisasikan objektif utama KRT Progresif.

“Disebutkan tadi sebagai besar KRT ini masih lagi bergantung kepada peruntukan ini dan tidak semua KRT aktif cuma saya melihat walaupun ada peruntukkan, ia boleh untuk buat program yang selanjutnya.

“Saya melihat bukan sahaja peningkatan sudut peruntukkan, disamping menjana pendapatan ahli, tanpa meninggalkan soal isu yang pokok iaitu integrasi dan perpaduan di kawasan KRT itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah pada sesi jawapan menteri terhadap Perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 pada peringkat dasar di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Sementara itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam jawapan beliau menyambut baik cadangan tersebut, malah menaruh harapan besar agar hasrat itu dapat dicapai sebaik mungkin.

Beliau berkata, KRT Progresif merupakan inisiatif bagi memperkasakan entiti itu supaya bukan hanya melakukan rondaan keselamatan tetapi juga pemangkin pembangunan komuniti maju dan berdaya tahan.

Namun beliau berkata, pelbagai halang terpaksa ditempuhi ketika membuat permohonan peruntukan kerajaan biarpun menjadikan lebih 8,000 KRT seluruh negara sebagai jentera utama kementerian tersebut.

“Mereka (Kementerian Kewangan) kata di kawasan sana tu memang sudah banyak kementerian lain, tetapi saya terangkan KRT ini adalah jentera utama kita dan kita sudah ada lebih 8,000 KRT di negara ini.

“Sebab itu kita mahu dari segi aktiviti mereka bukan sahaja ekonomi, kita ada taska, tadika perpaduan, kita ada banyak aktiviti lain, kita anjur lebih 100,000 aktiviti dibawah KRT sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -